LONDON – Sebuah banglo yang dipanggil ‘paling berhantu di Wales’ kini ditawarkan untuk dijual pada harga £1.6 juta (RM9.57 juta), seperti yang dilaporkan oleh akhbar Daily Mirror semalam.
Rumah yang dikenali sebagai Derwydd Mansion ini menawarkan 14 bilik tidur, empat bilik mandi, tujuh bilik tetamu, dan sebuah pondok serba lengkap yang sesuai untuk tetamu atau disewakan sebagai tempat percutian.
Rumah tersebut meliputi kawasan seluas 1,185 meter persegi dan terletak di kawasan kampung yang tenang di Carmarthenshire, Wales.
Menurut penduduk tempatan, rumah itu dikatakan didiami oleh hantu wanita yang dikenali sebagai White Lady atau nama sebenarnya Gwen Vaughan, yang sering muncul di hadapan lelaki bujang di dalam rumah tersebut.
Sejarah rumah bermula sejak tahun 1485 dan pada satu ketika, rumah ini merupakan kediaman bagi kesatria Wales, Sir Rhys ap Thomas.
Kisah menyeramkan ini telah diperturunkan dari generasi ke generasi, yang menceritakan tentang penampakan hantu yang sering kali muncul di tingkap rumah tersebut.
Menerusi perkongsian di platform perbincangan sosial, Reddit, seorang pengguna memberikan komen menyatakan bahawa rumah tersebut memang dikatakan berhantu.
Seorang lagi pengguna menulis: “Makhluk halus itu hanya mengganggu lelaki bujang.”
Sumber: Kosmo





