Tuesday, September 22, 2026
HomeLUAR NEGARAAmbulans Robot Bawa ‘Paramedik’ Selamatkan Humanoid

Ambulans Robot Bawa ‘Paramedik’ Selamatkan Humanoid

SEBUAH ambulans yang bergerak pantas di jalan raya Tokyo, Jepun lazimnya dikaitkan dengan usaha menyelamatkan nyawa manusia.

Namun, perkembangan terbaharu dalam industri robotik di Jepun memperkenalkan konsep yang agak berbeza.

Sebuah kenderaan menyerupai ambulans dibangunkan bukan untuk membawa pesakit, sebaliknya menyelamatkan robot humanoid yang mengalami kerosakan ketika menjalankan tugas.

Diperkenalkan oleh GMO AI & Robotics Trading (GMO AIR) iaitu anak syarikat kepada GMO Internet Group, kenderaan yang dinamakan GMO Humanoid Ambulance itu direka sebagai kenderaan penyelenggaraan khusus untuk robot humanoid.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif GMO AIR, Tomohiro Uchida, ambulans tersebut disifatkan sebagai kenderaan khusus pertama di Jepun yang dibangunkan bagi penyelenggaraan robot humanoid di lokasi.

“Konsep tersebut membayangkan satu bentuk infrastruktur baharu yang mungkin menjadi sangat penting sekiranya robot humanoid digunakan secara meluas dalam sektor perniagaan dan industri.

“Walaupun mempunyai rupa dan elemen visual seperti ambulans, namun kenderaan berkenaan sebenarnya lebih menyerupai bengkel bergerak.

“Ruang belakangnya pula disusun untuk membawa seorang jurutera, komputer riba, peralatan diagnostik, alat ganti serta komponen yang diperlukan bagi menjalankan pemeriksaan dan pembaikan,” katanya dalam temu bual bersama portal, Euronews baru-baru ini.

Jurutera boleh dibawa bersama kenderaan untuk menjalankan pemeriksaan dan pembaikan robot.

Tambahnya, jika keadaan robot terlalu sukar untuk dibaiki di lokasi, kenderaan itu turut boleh membawa robot gantian bagi memastikan operasi pelanggan tidak terhenti terlalu lama.
Konsep tersebut lahir daripada masalah yang agak praktikal.

Apabila robot humanoid digunakan dalam sesuatu operasi, kerosakan kecil sekalipun boleh menyebabkan tugasan terhenti. Sekiranya robot perlu dihantar kembali ke pusat servis, pemilik mungkin terpaksa menunggu sehingga kerja pembaikan selesai, sebelum robot itu dapat digunakan semula.

Bagi organisasi yang bergantung kepada robot untuk tugasan harian, tempoh henti operasi atau downtime boleh menjejaskan produktiviti.

Melalui sistem baharu itu, jurutera GMO AIR boleh dihantar terus ke lokasi robot yang mengalami masalah.

Menurut salah seorang jurutera di GMO AIR, Shota Takizawa, pemeriksaan awal dilakukan di tempat kejadian untuk mengenal pasti punca kerosakan.

“Jika masalah boleh diselesaikan di situ, robot dibaiki tanpa perlu dibawa ke pusat servis.

“Namun, jika pembaikan memerlukan masa atau peralatan tambahan, robot gantian boleh digunakan sementara unit yang rosak dibawa pulang untuk dibaiki.

“Pendekatan tersebut pada asasnya membawa konsep bantuan di tepi jalan ke dalam dunia robotik.

“Sama seperti kenderaan moden yang mempunyai rangkaian pusat servis, trak tunda dan juruteknik bergerak, robot humanoid juga mungkin memerlukan ekosistem sokongan sama apabila penggunaannya meningkat kelak,” ujarnya.

Robot humanoid yang mengalami kerosakan dimasukkan ke dalam ambulans untuk dibaiki.

Jelasnya lagi, robot bukan sekadar produk yang dibeli dan digunakan, tetapi memerlukan penyelenggaraan berkala, diagnostik, alat ganti, kemas kini perisian dan sokongan teknikal.

Apa yang menarik, GMO Humanoid Ambulance tidak beroperasi secara autonomi untuk pergi menyelamatkan robot sendiri. Sebaliknya, kenderaan tersebut masih dikendalikan oleh manusia dan membawa jurutera yang bertanggungjawab melakukan kerja diagnostik serta pembaikan.

Justeru, istilah ‘ambulans robot’ lebih sesuai difahami sebagai nama dan konsep perkhidmatan, bukannya robot yang memandu sendiri atau robot membaiki robot lain secara automatik.

Reka bentuk dalaman kenderaan juga menunjukkan perbezaan ketara berbanding ambulans untuk manusia.

Kongsi Takizawa, ambulans konvensional perlu menyediakan ruang untuk pengusung, petugas perubatan, peralatan kecemasan dan rawatan pesakit.

“Kenderaan ini pula hanya memerlukan ruang untuk robot humanoid, komputer, komponen mekanikal dan peralatan diagnostik.

“Dengan kata lain, ‘pesakit’ yang dibawa bukan manusia, tetapi mesin yang mempunyai struktur mekanikal, sensor, sistem elektronik dan perisian perlu diperiksa,” tambahnya.

Kemunculan kenderaan itu turut mencerminkan perubahan lebih besar dalam industri robotik Jepun.

Negara berkenaan mempunyai sejarah panjang dalam pembangunan robot industri, khususnya bagi sektor pembuatan.

Kini, tumpuan semakin berkembang pada robot yang mampu berinteraksi dengan manusia dan menjalankan pelbagai tugas dalam persekitaran sebenar.

Dalam konteks itu, isu penyelenggaraan menjadi sama penting dengan pembangunan robot berkenaan.

Perkembangan robot perkhidmatan di Jepun juga menunjukkan bahawa cabaran sebenar bukan hanya cara robot boleh bergerak atau melakukan sesuatu tugas.

Sebaliknya, bagaimana robot boleh beroperasi secara konsisten dalam persekitaran manusia.

Misalnya, syarikat Toyota telah mengoperasikan robot penghantar autonomi Potaro di Toyota Memorial Hospital bagi membawa ubat, spesimen dan barangan lain.

Menurut Toyota dalam satu kenyataan baru-baru ini, 24 unit Potaro telah digunakan sejak tahun 2023, dengan kadar kejayaan penghantaran 99 peratus dan jarak perjalanan terkumpul 27,000 kilometer sehingga Januari tahun ini.

Pengalaman itu turut menunjukkan cabaran interaksi antara robot dan manusia apabila ia bergerak di kawasan yang dikongsi bersama pesakit.

“Keperluan terhadap sistem sokongan sedemikian berpotensi menjadi lebih besar sekiranya robot humanoid memasuki lebih banyak sektor.

“Robot mungkin digunakan di kilang, gudang, hotel, premis perniagaan, pusat logistik atau persekitaran lain yang memerlukan tenaga kerja berulang,” kongsi syarikat itu.

Katanya, dalam situasi itu, kerosakan robot bukan lagi sekadar masalah teknikal, sebaliknya boleh menjadi gangguan operasi.

Ketika ini, Jepun sedang melihat robotik sebagai salah satu teknologi yang boleh membantu menghadapi perubahan demografi dan kekurangan tenaga kerja.

Reuters sebelum ini melaporkan, negara itu mula menggunakan robot berasaskan AI dalam penjagaan warga emas, termasuk pembangunan humanoid yang boleh membantu melakukan tugasan fizikal.

Walaupun penggunaan robot autonomi sepenuhnya dalam penjagaan manusia masih berdepan cabaran keselamatan, namun perkembangan tersebut menunjukkan skop penggunaan robot semakin meluas.

Dalam konteks itu, GMO Humanoid Ambulance mungkin kelihatan seperti inovasi kecil, tetapi konsepnya memberikan gambaran tentang satu aspek penting dalam ekonomi robotik masa depan.

Uchida turut memberitahu, buat masa ini, hanya sebuah kenderaan tersebut ditempatkan di ibu pejabat GMO AIR di Tokyo.

Jika robot humanoid suatu hari nanti menjadi sebahagian daripada tenaga kerja harian, masalah seperti kerosakan motor, sensor, sistem elektronik atau perisian mungkin memerlukan tindak balas pantas.

Maka, masa depan robotik bukan sekadar mengenai robot yang semakin pintar dan mampu melakukan banyak tugas. Ia juga mengenai bagaimana manusia membina sistem sokongan untuk memastikan mesin tersebut terus berfungsi.

Sumber – Kosmo! Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Saya Tidak Menutup Pintu Hati, Cuma Ikut Apa Yang Diaturkan Oleh...

0
KUALA LUMPUR - Selepas melalui perceraian , penyanyi Zizi Kirana mengakui masih terbuka untuk mengenali insan baharu,namun menyerahkan soal jodoh kepada Allah. Zizi atau nama...

CATEGORIES