Thursday, July 2, 2026
HomeHIBURAN'Tak Boleh Tak jumpa'

‘Tak Boleh Tak jumpa’

CINTA hadir tanpa diduga. Tanpa mengira latar budaya atau benua, ia menemukan dua jiwa bersedia untuk saling memahami dan menyayangi.

Begitulah kisah cinta aktres versatil, Maya Karin yang kini bahagia menjalinkan hubungan dengan lelaki asal Perancis.

Walaupun identitinya masih dirahsiakan, kehadiran lelaki itu memberi warna baharu dalam kehidupan Maya yang kini tampak lebih berseri dan matang menghadapi liku-liku cinta.

Maya bukan lagi wanita muda yang terburu-buru mencari pelengkap hidup. Dia kini menikmati fasa cinta yang tenang dan penuh kedewasaan.

Namun sebagai pasangan yang menjalani hubungan jarak jauh, ada ketikanya hati menjadi rindu.

Bagi Maya, jarak bukan penghalang, tetapi cabaran yang menguji keikhlasan dan kepercayaan.

“Kami dah hampir sebulan tak jumpa. Jujur saya tak boleh kalau tidak berjumpa dalam tempoh lama.

“Walaupun ada pasangan boleh terima sehingga hampir enam bulan tidak bertemu pasangan mereka, tapi bukan saya.

“Selalunya kami saling berbincang siapa datang untuk berjumpa memandangkan masing-masing pun sibuk dengan kerja yang tidak tetap ini,” katanya.

Sebagai wanita yang berpegang pada prinsip saling mempercayai dalam setiap perhubungan, Maya meletakkan asas kepercayaan sebagai tonggak utama untuk kekal bahagia.

“Dalam perhubungan ini perlu ada saling percaya. Jika tidak, sia-sia saja. Bagi saya, kalau asyik berfikiran negatif, lelaki pun akan rimas,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan membawa hubungan itu ke fasa perkahwinan, Maya tidak menolak namun belum bersedia untuk melangkah ke alam rumah tangga.

“Belum lagi. Kami belum rasa nak fikir soal kahwin walaupun kami serius dengan perhubungan ini.

“Rasanya saya pun sudah cukup matang untuk melalui semua ini. Kalau zaman muda dulu tak boleh berpisah sekejap, tapi sekarang saya matang dan sentiasa berfikiran positif.

“Cuma fasal kahwin belum ada perbincangan lagi,” katanya.

Dalam kesibukan melayan perasaan cinta, Maya juga tidak melupakan tanggungjawab seninya.

Maya tampil sebagai watak utama bernama Rohaya dalam filem seram psikologi arahan Osman Ali, Telaga Suriram.

Filem ini menguji ketahanan mental dan fizikalnya, terutama ketika penggambaran dijalankan pada waktu awal pagi di Perlis.

“Cuaca ketika menjalani penggambaran di Perlis luar biasa sejuk. Lagipun kami jalani penggambaran sekitar jam tiga pagi hingga tujuh pagi untuk babak-babak tertentu.

“Kalau perasan ada babak tangan saya menggigil disebabkan cuaca sejuk ketika itu.

“Ada hari saya terpaksa minta kru sediakan air panas dan isi dalam baldi supaya saya dapat rendamkan kaki,” katanya.

Bukan sekadar cuaca, Maya berdepan cabaran besar apabila melakonkan babak terakhir dalam air, termasuk di dalam tasik. Pengalaman itu memberi kenangan luar biasa yang tidak akan dilupakan.

Walaupun berusia 46 tahun, Maya tetap cergas dan bersedia bekerja mengikut waktu yang tidak menentu.

Ketekunannya jelas apabila dia tetap tampil profesional, walaupun perlu bersiap seawal jam lima petang dan masuk ke dalam tasik pada awal pagi.

“Walaupun babak saya mungkin bermula sekitar jam lapan malam, tapi persiapan sudah bermula lebih awal pada jam lima petang.

“Kemudian, selepas menjalani penggambaran untuk babak tertentu, pengarah minta saya masuk ke dalam tasik pada awal pagi, jadi kami perlu sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan.”Pengalaman seperti ini sangat berharga untuk saya. Bagi saya, kalau kita minat dan ikhlas dengan kerja dihasilkan, kita pasti cuba lakukan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Keserasian Maya bersama pelakon gandingannya, Farid Kamil turut menyerlah dalam filem itu.

“Kami dah berlakon banyak kali, jadi hubungan kami rapat sebagai kawan. Lagipun masing-masing sudah faham tanggungjawab dan tahu apa yang perlu dibuat.

“Kami tidak kekok melakukan adegan mesra sebab kami tahu batas masing-masing. Kalau ada antara kami tidak selesa, kami terus-terang saja,” katanya.

Sumber – Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Gerak Khas 2.0 Beri Nafas Baharu Buat Francais Drama Polis Ikonik...

0
KUALA LUMPUR, 30 JUN 2026 – Selepas lebih dua dekad mencipta sejarah dalam landskap drama tempatan dan lima tahun meninggalkan kerinduan dalam kalangan peminat,...

CATEGORIES