KUALA LUMPUR: Pelakon Nora Danish berharap keadilan berpihak kepada remaja berusia 13 tahun, Allahyarham Zara Qairina Mahathir melalui siasatan kes yang telus dan adil.
Nora atau nama sebenar, Nora Mohd Danish Hanif, 42, mengakui tragedi menimpa Allahyarham Zara memberi kesan kepada dirinya sebagai ibu.
“Saya juga ibu yang mempunyai anak yang belajar di sekolah berasrama. Jadi, perkara ini sangat memberi kesan kepada saya dan saya sangat berharap keadilan menyebelahi mangsa.
“Saya berharap pihak-pihak tertentu boleh jalankan siasatan dengan telus dan menyeluruh agar keluarga mangsa mendapat jawapan yang mereka inginkan.
“Saya juga berharap kita semua dapat bersatu dan mendapatkan keadilan. Itu yang paling penting sebab kita ada anak-anak yang sedang membesar, jadi kita mahu mereka mahu membesar dalam persekitaran makmur,” katanya ditemui pada majlis pengumuman duta baharu Amber di sebuah hotel di sini, semalam.
Ibu kepada Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram dan Mohamed Neqayl Nedim ini juga berpendapat pengurusan sekolah perlu memainkan peranan penting dengan menitikberatkan aspek keselamatan dan pemantauan ketat.
“Kena ada saluran aduan. Jadi, kalau anak-anak kita ada masalah buli atau sebagainya, dia boleh meluahkan tanpa rasa takut. Kita juga kena ajar di sekolah mengenai buli dan perlu adanya sifat belas kasihan dan kasih sayang sebab kita sudah kurang semua itu.
“Setakat ini, anak saya tidak meluahkan, tetapi, kalau Rayqal atau Neyney (Mohamed Neqayl Nedim) balik rumah, saya akan tanya, okay atau tidak di sekolah. Saya pastikan mereka tahu buli ini tidak normal. Walaupun sedikit, ia tetap buli.
“Saya percaya banyak lagi kes di luar sana yang lebih berat tetapi tidak mendapat liputan. Jadi, saya harap kita semua membantu agar kita dapat mendapat keadilan,” katanya.
Nora mengakui kes buli bukan hanya boleh berlaku di sekolah, sebaliknya, ramai selebriti yang sedang berhadapan dengan buli dalam media sosial.
“Buli dalam media sosial juga berat. Ia bukan saja boleh menganggu emosi kita, malah, boleh membunuh dan meragut nyawa.
“Sememangnya, jadi anak seni tidak lari daripada dibuli. Tetapi, saya sudah lali dan biasa sebab saya lahir dari zaman blog lagi. Jadi, perkara ini tidak terlalu terkesan dalam hidup saya. Namun, kepada yang terkesan, saya sangat bersimpati.
“Saya faham perasaan itu kerana saya pernah kena. Saya tahu bukan mudah hendak teruskan kehidupan,” katanya.
Allahyarham Zara disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lalu. Arwah Zara dimasukkan ke hospital selepas dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi, 16 Julai lalu.
Sumber: Berita Harian





