Kuala Lumpur: Penyanyi Ina Naim, 41, menyifatkan arwah suaminya, Allahyarham Suhaimi Saad adalah insan yang patut berada di pentas program Talk To My Manager (TTMM) untuk bersama anak sulung mereka, Hadie, 17.
Ina atau nama sebenarnya, Nordiana Mohd Naim berkata, dia percaya sekiranya arwah Suhaimi masih ada sudah pasti akan membantu Hadie untuk bimbingan vokal dan persembahan.
“Saya memang tak dapat tahan sebak bila tengok Hadie buat persembahan.
Pada saya, sebenarnya bukan saya yang patut duduk di situ (kerusi pengurus), tetapi arwah ayahnya.
“Sejak dari kecil ketika Hadie berumur lima tahun, arwah suami sudah melatih dia menyanyi. Dia (arwah) yang mendidik anak-anak dari kecil sampai besar. Tapi, arwah tidak dapat lihat Hadie buat persembahan atas pentas.
“Jadi, saya yang kini harus menggalas tanggungjawab menggantikan arwah jadi pengurus Hadie. Saya akan berusaha pastikan Hadie dapat buat yang terbaik untuk ayahnya,” katanya.
Terdahulu, Ina dan Hadie ditemui selepas konsert minggu pertama TTMM yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, malam tadi.
Pada persembahannya, Hadie atau nama sebenar Ehmad Hadie Elfardie menyanyikan lagu Sangkar Derita nyanyian asal Haqiem Rusli yang didakwa terpaksa ditukar.
“Sebenarnya saya pilih nyanyi lagu lain, tapi kena tukar lagu pula. Jadi, dengan kekangan masa yang ada saya teruskan sahaja dan cuba buat yang terbaik.
“Cuma, ketika di pentas itu memang teringat pada arwah ayah. Tapi, syukur Alhamdulillah ada ibu di situ yang memberi semangat kepada saya,” katanya.
Menurut Hadie, dia mahu memberi fokus dalam membina karier nyanyian terlebih dulu untuk memberi contoh yang baik kepada adik-adik yang lain dalam mengejar impian.
Selain Hadie, tiga lagi anak Ina dan Suhaimi ialah Salman Elkhoyri, 15, Phyrosh Elfadwah, 13, dan Nur Layla Elghufrony, 11.
Seramai lapan peserta TTMM terdiri daripada anak selebriti bersama ibu bapa mereka sebagai pengurus berentap setiap minggu, namun di konsert petama itu Hadie akur berada pada kedudukan tercorot.
Sumber: Harian Metro





