BUKAN calang-calang pelakon sanggup mengerah emosi dan fizikal demi menjayakan sesebuah naskhah seram, apatah lagi apabila perlu membawa watak sebagai sekutu Iblis.
Bagi bintang Indonesia, Acha Septriasa, tawaran membintangi filem Munafik: Melawan Iblis bukan sekadar peluang berlakon sebaliknya menjadi medan menguji kekuatan emosi dan ketahanan dirinya.
Di sebalik pengalaman mencabar sepanjang penggambaran Munafik yang diadaptasi daripada filem asal arahan Syamsul Yusof itu turut mempunyai nilai sentimental buat aktres berusia 37 tahun itu.
Sekutu iblis
Katanya, cabaran terbesarnya bukan sekadar mendalami watak sebagai Fitri tetapi perlu menjaga jiwa dan akidahnya kerana banyak melakukan adegan dirasuk syaitan.
“Sejujurnya, sangat berdebar kerana watak saya menuntut penghayatan yang luar dari kebiasaan kerana perlu meneroka lebih mendalam karakter sebagai iblis.
“Untuk dirasuk dan menjadi iblis, naluri sebagai manusia perlu diketepikan terlebih dahulu dari jiwa dan perkara itu sangat sukar.
“Memang hanya lakonan tetapi pada masa sama, saya sentiasa minta perlindungan daripada Allah SWT sepanjang tempoh penggambaran,” katanya.
Bagi mengatasi kebimbangan sepanjang penggambaran, dia menjadikan doa dan segala amalan sebagai pendinding diri terutama ketika perlu menghayati watak yang bertentangan dengan pegangan agama.
Katanya, setiap kali penggambaran dihentikan, dia akan kembali mengingatkan dirinya untuk memohon perlindungan Allah.
“Banyakkan membaca ayat suci al-Quran dan meminta Tuhan sentiasa memelihara jiwa, itu cara yang membuatkan saya berasa lebih selamat.
“Semua itu disebabkan perlu melakonkan watak sebagai iblis yang sangat bertentangan dengan batin saya.
“Saya perlu melakonkan watak sebagai anak dajal tetapi sejurus pengarah menyebut ‘cut’, saya terus menyebut ‘Astaghfirullahalazim’. Sejujurnya memang sangat takut,” katanya lagi.
Bukan sahaja emosi diuji, malah ketahanan fizikalnya turut dicabar ketika menjayakan salah satu babak memanjat dinding.
Ujarnya, babak itu memerlukan persiapan rapi dengan bantuan pasukan lagak ngeri dan penggunaan peralatan keselamatan.
“Saya memakai tali keselamatan dan perlu melakukan aksi memanjat itu berulang kali bermula pukul 10 pagi hingga pukul 2 pagi.
Itu sahaja babak yang kami lakukan selama lima hari. Jadi, apabila melihat babak itu disunting dan hasilnya bagus, rasa bangga.
“Rasa semua penat lelah perlu memanjat dinding itu berbaloi,” jelasnya.
Dalam pada itu, Acha turut memuji lakonan rakan gandingannya, Arya Saloka yang membawakan watak Ustaz Adam yang sebelum ini dipegang oleh Syamsul.
Kerja keras
“Saya sangat kagum melihat kerja keras Arya kerana dia memberikan hasil yang hebat dan luar biasa.
“Kami semua mempunyai cabaran berbeza dan saya selalu beritahu Arya bahawa dia mampu untuk melakukan setiap adegan dan tenang sahaja melalui semuanya.
“Tanpa sedar, perkara itu juga ibarat memberi semangat kepada diri sendiri juga dan akhirnya berhasil menempuh semua cabaran dengan lancar,” kongsi bintang filem My Heart itu.
Acha menyifatkan tawaran membintangi Munafik sebagai satu pengalaman cukup bermakna kepada dirinya sebagai seorang pelakon.
“Ketika filem Munafik pertama ditayangkan, saya menetap di Malaysia bersama keluarga disebabkan ayah bekerja di sini,” ujarnya menggulung perbualan.
Sumber – KOSMO! ONLINE





