Tuesday, July 21, 2026
HomeHIBURAN'Kena Hasilkan Album, Single Tidak Mampu Tonjolkan Repertoir Artis' – Ajai

‘Kena Hasilkan Album, Single Tidak Mampu Tonjolkan Repertoir Artis’ – Ajai

KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi, Ajai, menggesa artis tempatan kembali menghasilkan album penuh berbanding hanya memberi tumpuan kepada penerbitan single.

Menurut Ajai atau Mohd. Faizal Maas, 51, perjalanan muzik, konsep serta repertoir seseorang penyanyi hanya dapat dinilai secara menyeluruh menerusi sebuah album.

“Apabila sesebuah album mengandungi lima hingga 10 buah lagu, barulah kita dapat melihat perjalanan karya itu secara keseluruhan. Kita boleh faham konsep pop atau identiti muzik yang cuba dibawakan.

“Mungkin ada lagu yang sangat baik, ada juga yang kurang menyerlah, tetapi itulah yang membentuk sesebuah album.

“Malah, kita juga dapat melihat repertoir karya yang dipersembahkan. Semua itu tidak dapat dilihat menerusi single kerana ia sekadar sebuah lagu yang dihasilkan untuk pasaran.

“Sedangkan pasaran sepatutnya kita yang bentuk, bukannya mengikut kehendak pendengar semata-mata. Pendengar akan mendengar lagu yang baik serta konsep yang diketengahkan oleh industri,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Tambah penerima trofi Lagu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 2002 itu, kecenderungan menghasilkan single sebelum ini didorong oleh kegawatan yang melanda industri muzik, namun keadaan tersebut tidak lagi relevan pada masa ini.

“Saya rasa isu menghasilkan single ini sudah berlarutan sejak lebih sedekad lalu. Ketika itu industri memang berdepan kegawatan, tetapi sekarang keadaan sudah berubah.

“Sudah tiba masanya syarikat rakaman, sama ada label antarabangsa mahupun label bebas, menggalakkan artis menghasilkan EP atau album penuh,” katanya.

Menurut Ajai, penerbitan album memberi pengalaman yang lebih bermakna kepada pendengar kerana mereka dapat menikmati keseluruhan perjalanan sesebuah karya.

“Saya rasa itu lebih adil kepada pendengar kerana mereka dapat merasai perjalanan sesebuah album. Peminat juga boleh melihat rekaan kulit album, maklumat teknikal serta penghargaan seperti yang pernah menjadi kebiasaan suatu ketika dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, Ajai turut mencadangkan agar penerbit muzik menyelaraskan semula kos pembikinan album penuh kerana berpendapat trend menghasilkan single menyebabkan kos penerbitan semakin meningkat.

“Dulu kos pembikinan sebuah lagu sekitar RM4,000. Sekarang, sebuah lagu sahaja boleh mencecah RM15,000.

“Mungkin jika kita kembali menghasilkan album penuh, penerbit boleh menurunkan semula kadar tersebut. Ada yang mengenakan harga sehingga RM30,000 kerana hanya bergantung kepada penerbitan sebuah single untuk menjana pendapatan,” katanya.

Dipilih sebagai Ketua Juri Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25, Ajai turut mencadangkan agar penganjur mengembalikan syarat di mana penyanyi mesti mempunyai album penuh atau setidaknya album mini untuk melayakkan mereka bertanding di anugerah itu pada penganjuran akan datang.

Sumber – UTUSAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Sejarah Tercipta! Robot Humanoid Buat Pembedahan,Pertama Di Dunia

0
TEKNOLOGI robot humanoid kini semakin berkembang pesat dan mula memainkan peranan penting dalam bidang perubatan, khususnya bagi membantu doktor menjalankan prosedur pembedahan. Dengan gabungan kemampuan...

CATEGORIES