PETALING JAYA: Pelakon, Ozlynn Waty tidak menafikan bahawa nafkah wajib bagi seorang suami adalah menyediakan tempat tinggal, makan minum, kesihatan dan pakaian buat isteri.
Namun, Ozlynn atau Rozlinawaty Ismail berpendapat rezeki seorang suami akan lebih berganda sekiranya tidak bersikap berkira terhadap isteri.
“Kalau suami mahu murah rezeki, jangan kedekut dengan isteri. Doa isteri juga penting untuknya,” katanya di Threads.
Ozlynn berkata demikian ketika membalas perkongsian seorang pengguna platform tersebut yang mempersoalkan sama ada perlu atau tidak seorang isteri menuntut nafkah berupa wang ringgit jika tidak diberi oleh suami.
Namun, isteri kepada pelawak, Johan itu turut berpendapat setiap pasangan suami isteri seharusnya memainkan peranan penting dalam memahami situasi dan keadaan kewangan antara satu sama lain.
“Senang cerita, suami dan isteri saling memerlukan. Isteri juga kena faham situasi suami. Suami pula perlu jujur dengan isteri supaya isteri faham keadaan kewangan. Yang penting, suami itu bukan pemalas,” kongsinya.
Ozlynn bagaimanapun percaya setiap usaha untuk menggembirakan dan membahagiakan seorang isteri adalah pendorong pintu rezeki Sang Suami terbuka luas.
“Senang cakap, apabila isteri tenang dan gembira, secara tidak langsung akan nampak kebahagiaan dan rezeki itu mencurah.
“Suami pula, kalau ada rezeki lebih, jangan kedekut untuk berkongsi dengan isteri,” ujarnya.





