KUALA LUMPUR – Penyanyi Irfan Haris tidak menyangkan lagu Redha , yang dirakam sebagai lagu tema drama Suri Hati Mr. Pilot kira – kira sedekat lalu , akhirnya menjadi penghubung hubungan kekeluargaan apabila pelakon utamanya, Fattah Amin, kini bergelar abang iparnya.
Irfan atau nama penuh, Irfan Haris Othman berkongsi kisah itu dalam hantaran TikTok, semalam.
“Selepas 10 tahun, Ejaz Fakhri (watak dibawa Fattah dalam drama itu) akhirnya jadi abang ipar saya,” katanya.
Pada hantaran sama, Irfan yang juga adik kepada penyanyi Amira Othman, memberitahu, Redha adalah single yang dirakam selepas dirinya tersingkir daripada program realiti, Ceria Popstar 2016.
“Ketika saya belajar di tingkatan tiga, selepas tersingkir daripada program Ceria Popstar 2016, rezeki saya dapat tawaran nyanyi lagu Redha.
“Tiba-tiba lagu itu dapat jadi OST drama Suri Hati Mr Pilot pula,” katanya.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian Fattah yang meninggalkan komen dengan menyatakan lagu Redha adalah antara lagu kegemarannya, ketika itu.
“Lagu ‘favourite’ abang juga masa itu Ipan,” tulisnya.
Irfan memulakan perjalanan dalam industri seni menerusi program realiti seperti Idola Kecil dan Ceria Popstar, sebelum mula menembusi arus perdana menerusi lagu Redha.
Kejayaan lagu itu membuka lebih banyak peluang buat Irfan apabila dia kemudian menyertai program realiti nyanyian Big Stage 2019 dan menduduki tempat keempat.
Sumber – Berita Harian





