Monday, September 7, 2026
HomeBERITAHampir 4000 Peminat Saksi Magis Ungu Di Kuala Lumpur

Hampir 4000 Peminat Saksi Magis Ungu Di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 6 SEPTEMBER 2026Hampir 4,000 peminat memenuhi Idea Live Arena, Kuala Lumpur malam tadi, menyaksikan sebuah malam penuh nostalgia, emosi dan tenaga menerusi “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur”, sekali gus membuktikan bahawa karya dan muzik kumpulan legenda Indonesia, Ungu, terus dekat di hati peminat Malaysia selepas tiga dekad.

Dibawakan oleh COMs. Creative Studio dan DM Diamond Entertainment, konsert istimewa sempena ulang tahun ke-30 Ungu tersebut berlangsung meriah apabila para peminat bukan sahaja menyanyikan hampir setiap bait lagu, malah turut larut dalam perjalanan muzik yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Tirai Dibuka Dengan “Cindai”

Menariknya, Ungu membuka tirai persembahan dengan lagu yang dipopularkan oleh biduanita negara, Dato’ Seri Siti Nurhaliza, “menjadikan suasana Idea Live Arena bergema dengan sorakan peminat sebelum meneruskan momentum menerusi “Cinta Gila”, “I Need You”, “Ciuman Pertama”, “Hampa Hatiku” dan “Percaya Padaku”.

Persembahan kemudiannya bergerak ke sisi lebih romantik dan emosional menerusi “Sejauh Mungkin”, “Seperti Yang Dulu” dan “Cinta Dalam Hati”, sebelum penonton kembali dibuai nostalgia menerusi “Gerimis Mengundang”, “Andai Ku Tahu” dan “Bila Tiba”.

Setiap lagu seolah-olah membuka kembali satu bab dalam kehidupan para peminat, daripada kisah cinta, kehilangan, harapan sehinggalah kenangan yang pernah menjadi latar perjalanan mereka.

Marsha Milan Cipta Detik Manis Bersama Ungu

Antara detik paling dinantikan malam tersebut hadir apabila Marsha Milan mengambil tempat di pentas untuk berkolaborasi bersama Ungu menerusi “Bismillah Cinta” dan “Tercipta Untukku”.

Kemunculan Marsha disambut sorakan gemuruh, sebelum kekuatan vokal dan penghayatan kedua-dua pihak menghasilkan dua persembahan yang penuh chemistry dan emosi.

Bagi Marsha, peluang berkongsi pentas bersama Ungu dalam sambutan tiga dekad mereka merupakan sebuah pengalaman yang cukup istimewa.

“Saya sangat teruja dan terharu kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada malam yang begitu bermakna buat Ungu dan peminat mereka. Lagu-lagu Ungu sudah begitu dekat dengan hati ramai orang, jadi dapat menyanyikannya bersama mereka di hadapan ribuan peminat adalah satu kenangan yang tidak akan saya lupakan,” kata Marsha.

Satu Arena Nyanyi Bersama

Selepas segmen istimewa bersama Marsha, Ungu kembali menguasai pentas menerusi “Utara – Selatan”, “Aku Tahu” dan “Kekasih Gelapku”.

Namun, kemuncak nostalgia hadir apabila “Demi Waktu” dipersembahkan. Hampir seluruh ruang Idea Live Arena bergema dengan nyanyian ribuan peminat yang menghafal setiap lirik, mencipta salah satu momen paling mengesankan sepanjang malam.

Buat Pasha, sambutan tersebut menjadi bukti bahawa perjalanan tiga dekad mereka bukan hanya mengenai pencapaian kumpulan, tetapi juga hubungan yang dibina bersama peminat.

“Tiga puluh tahun adalah perjalanan yang sangat panjang. Ada banyak cerita, cabaran dan kenangan yang kami lalui. Tetapi apabila kami melihat peminat di Kuala Lumpur masih menyanyikan lagu-lagu kami bersama-sama, kami rasa sangat bersyukur. Mereka adalah sebahagian daripada perjalanan Ungu,” ujar Pasha.

“Seperti Mati Lampu” Tutup Malam Penuh Magis

Sebagai lagu penutup, Ungu memilih “Seperti Mati Lampu”, sekali gus mengakhiri persembahan dalam suasana penuh tenaga, sorakan dan kegembiraan.

Menurut Pengarah Konsert, En. Zairul Addry Helmy dari COMs. Creative Studio, sambutan luar biasa daripada peminat menjadikan malam tersebut satu pencapaian yang amat bermakna.

“Kami sangat bersyukur hampir 4,000 peminat hadir untuk meraikan tiga dekad Ungu bersama-sama. Dari awal, kami mahu menghasilkan sebuah konsert yang bukan sekadar persembahan, tetapi pengalaman yang meninggalkan kenangan. 

Melihat peminat menyanyi, tersenyum dan menghayati setiap lagu bersama Ungu malam ini adalah sesuatu yang sangat membanggakan,” katanya.

Tambah beliau, kehadiran Marsha turut memberikan dimensi istimewa kepada keseluruhan persembahan.

“Kolaborasi Marsha bersama Ungu benar-benar menjadi salah satu detik istimewa malam ini. Ia memberikan warna yang berbeza dan pada masa sama memperlihatkan bagaimana muzik mampu menyatukan artis dan peminat merentasi generasi,” ujarnya.

30 Tahun Berlalu, Ungu Tetap Unggul

Daripada “Cindai” hingga “Seperti Mati Lampu”, “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur” membuktikan bahawa tiga dekad bukan sekadar angka, sebaliknya sebuah perjalanan panjang yang terus mekar bersama muzik, persahabatan, perjuangan dan jutaan kenangan.

Malam tersebut turut menjadi bukti bahawa karya-karya Ungu masih dekat di hati peminat. Hampir 4,000 penonton hadir bukan sekadar untuk menyaksikan persembahan, tetapi untuk meraikan setiap lagu yang pernah menjadi sebahagian daripada kisah hidup mereka.

Tiga puluh tahun telah berlalu, namun Ungu tetap unggul. Selagi lagu-lagu mereka terus dinyanyikan dan selagi peminat terus berdiri bersama, perjalanan Ungu akan terus bergema merentasi generasi.

Sumber – Kosmo! Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Letusan Anak Krakatau Jejas 170,000 Penumpang, 8 Lapangan Terbang Ditutup

0
JAKARTA - Lapan lapangan terbang di Indonesia masih ditutup setakat awal pagi Isnin susulan penyebaran abu gunung berapi daripada letusan Gunung Anak Krakatau ,...

CATEGORIES