KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan tidak ada etnik Rohingya yang dihantar pulang ke Myanmar dalam kalangan 10,000 warga Myanmar yang dihantar pulang ke negara asal mereka, setakat ini.
Perdana Menteri, berkata dalam perjanjian penghantaran pulang itu, mereka yang dihantar pulang tidak berdasarkan etnik, sama ada dari Rakhine, Karen atau Shan, mahu pun Rohingya.
“Dalam rekod yang kita kesan setakat ini, belum ada rakyat Rohingya yang dibawa pulang tapi ini masih lagi dalam perbincangan.
“Saya percaya Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan saya, ketika bertemu dengan Presiden, Min Aung Hlaing dalam beberapa hari ini, akan juga bangkitkan isu ini supaya dapat ditangani dengan sebaik mungkin.
“Bagi saya, mana-mana negara yang ingin bawa pulang rakyat mereka dari negara kita, itu kita alu-alukan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai), sama ada terdapat etnik Rohingya yang dihantar pulang dalam program penghantaran pulang secara sukarela bagi warga Myanmar.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, sebarang usaha untuk menghentikan peranan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam pendaftaran pelarian di negara ini perlu melalui rundingan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau menjelaskan peranan yang dimainkan UNHCR adalah isu legasi yang dibenarkan secara rasmi oleh kerajaan terdahulu dan sebarang pindaan peraturan mengenai perkara itu tentunya mengambil masa.
“Ini memerlukan proses rundingan dengan PBB supaya kita tidak dilihat mengetepikan peraturan antarabangsa.
“Bagaimanapun, saya setuju sebenarnya tindakan dan keputusan yang tegas harus diambil kerana urusan negara kita harus oleh jentera kita sendiri, tidak diatur oleh pegawai dari luar, yang mengatur siapa yang layak, siapa yang tidak layak (mendapat status pelarian),” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) mengenai cara untuk kerajaan tidak membenarkan UNHCR mengeluarkan kad pelarian, sebaliknya peranan itu diambil kerajaan atau Kementerian Dalam Negara (KDN).
Sumber – Kosmo! Online





