KUALA LUMPUR – Selepas terlepas peluang bersaing pada edisi lalu Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), penyanyi Hafiz Suip menganggap pencalonan semula dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular pada edisi ke-38 sebagai suntikan semangat untuk kembali menghangatkan perjalanan seninya.
Malah, pelantun lagu Awan Nano itu tidak dapat menyembunyikan keterujaan apabila namanya kembali menjadi pilihan peminat, sekali gus membuka ruang untuknya mengubati kerinduan terhadap suasana industri muzik yang sudah lama tidak disertainya secara aktif.
Mengakui terkejut sebaik menerima perkhabaran berkenaan, Hafiz menyifatkan pencalonan itu sebagai satu bentuk kemunculan semula yang cukup bermakna selepas sekian lama tidak menyibukkan diri dengan acara seni.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi. Bagi saya, ini satu ‘comeback’ selepas sekian lama tidak menyibukkan diri dengan acara seni. Apabila kembali duduk dan melihat suasana ini, timbul rasa rindu,” katanya.
Hafiz yang hadir ditemani isteri, Fiona Saffiyya, berkata peluang kembali menghadiri ABPBH turut memberinya kesempatan bertemu rakan seperjuangan yang pernah bersama-sama mewarnai industri muzik tanah air.
Pada masa sama, dia melihat kemunculan ramai bakat baharu sebagai petanda positif bahawa industri muzik tempatan terus berkembang dan kekal relevan.
“Melihat rakan-rakan lama dan saingan baharu, saya rasa itu satu perkembangan yang baik. Ini membuktikan industri muzik Malaysia masih terus relevan,” katanya.
Berkongsi detik menerima berita pencalonan itu, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu berkata, isterinya terlebih dahulu memaklumkan mengenai perkhabaran berkenaan selepas menerima mesej daripada pihak penganjur.
Hafiz yang kebetulan berada di ibu kota bagi menyiapkan klip video lagu baharu mengambil keputusan menangguhkan kepulangan ke Kuching demi memeriahkan majlis pelancaran ABPBH 38.
“Saya memang terkejut apabila isteri beritahu dia menerima mesej mengatakan saya tercalon. Tahun lalu saya tidak dicalonkan, jadi apabila kali ini nama saya kembali tersenarai dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular, memang terasa berbeza,” katanya.
Baginya, pencalonan itu bukan sekadar peluang untuk kembali mendapat perhatian peminat, malah menjadi pemangkin semangat untuk terus menghasilkan karya berkualiti buat mereka yang masih setia menyokong perjalanan seninya.
Seiring hasrat mengukuhkan kembali kedudukan dalam industri muzik, Hafiz kini merancang menerbitkan album mini (EP) yang memuatkan empat lagu hasil kerjasama dengan komposer terkenal, Ajai.
Tidak terhenti setakat itu, Hafiz turut menyimpan hasrat mendapatkan karya daripada Datuk M Nasir bagi melengkapkan perancangan muzik terbaharunya.
Di sebalik keterujaan merancang kemunculan semula dalam industri muzik, Hafiz turut berkongsi berita gembira apabila bakal menyambut kehadiran cahaya mata pada Januari depan.
Isterinya kini hamil tujuh bulan dan dijangka melahirkan bayi lelaki pada 24 Januari depan di Kuching, Sarawak, sekali gus menambah seri kehidupan rumah tangga mereka yang baru dibina.
Biarpun sudah mempunyai pengalaman bergelar bapa, penyanyi itu mengakui tetap berdebar menantikan kelahiran berkenaan kerana bayi itu adalah cahaya mata pertama hasil perkongsian hidupnya bersama Fiona yang dinikahi pada 13 Februari lalu.
Hafiz berkata, pengalaman menyambut kehadiran bayi baharu seolah-olah perlu dilalui semula dari awal, apatah lagi selepas agak lama mereka tidak melalui fasa membesarkan anak kecil.
“Perasaan gementar itu memang ada. Ini anak keempat isteri dan ketiga buat saya, tetapi anak pertama hasil perkahwinan kami bersama. Tambahan pula, jarak usia dengan anak bongsu isteri sudah sembilan tahun.
“Jadi, perasaan takut itu datang semula seolah-olah kami baru nak lalui pengalaman menyambut anak sulung. Saya berharap semuanya berjalan lancar, insya-Allah,” katanya.
Berkongsi mengenai penerimaan anak-anak terhadap kehadiran ahli keluarga baharu, Hafiz bersyukur apabila mereka menunjukkan keterujaan dan menerima perkhabaran itu dengan baik sejak awal.
Bagaimanapun, dia tidak menafikan ada gelagat mencuit hati apabila anak perempuan isterinya dan anak bongsu Hafiz daripada perkahwinan terdahulu berharap dikurniakan adik perempuan, memandangkan kebanyakan adik-beradik mereka lelaki.
“Alhamdulillah, Allah aturkan semuanya dengan cantik. Cuma ada momen lucu apabila mereka berharap mendapat adik perempuan. Ada yang sampai meminta supaya diberikan adik perempuan, tetapi rezeki kali ini lelaki juga,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hafiz mengesahkan menerima tawaran menyertai program realiti Gegar Vaganza Fantasia, namun terpaksa menolaknya meskipun menyedari ramai peminat dan rakan artis, termasuk Stacy, mengharapkan kemunculannya dalam program berkenaan.
Jelasnya, keputusan itu dibuat kerana tidak mahu memberikan komitmen separuh jalan, lebih-lebih lagi isterinya kini sedang sarat mengandung dan memerlukan perhatian.
“Saya takut memberikan komitmen separuh jalan. Apabila bekerja, saya sentiasa mahu memberikan lebih 100 peratus. Saya bimbang keadaan isteri yang sedang sarat mengandung akan mengganggu fokus pada pertandingan itu.
“Saya mahu memberikan komitmen sepenuhnya, sebab itu saya memilih untuk tidak menyertai GV Fantasia kali ini,” katanya.
Selain memberi tumpuan kepada keluarga, Hafiz turut merancang menyelesaikan urusan penerbitan lagu dan EP menjelang Disember ini sebelum memberikan perhatian kepada kelahiran cahaya mata baharu pada Januari depan.
Sumber – Berita Harian





