Friday, September 4, 2026
HomeHIBURANDua Dekad Dalam Industri, Faizal Tahir Tak Pernah Kejar Gelaran Datuk

Dua Dekad Dalam Industri, Faizal Tahir Tak Pernah Kejar Gelaran Datuk

KUALA LUMPUR – Selepas dua dekad dalam industri seni, penyanyi Faizal Tahir menegaskan dirinya tidak pernah mengejar sebarang gelaran atau pangkat, termasuk anugerah Datuk, sebaliknya mahu terus memberikan tumpuan terhadap kerjaya dan penghasilan karya.

Faizal, 48, berkata, dia tidak memandang rendah sebarang bentuk pengiktirafan, namun tidak menjadikan anugerah atau gelaran sebagai dorongan utama untuk terus berkarya.

“Saya tidak mengharapkan mahupun mengejar benda macam itu. Saya tidak buat kerja semata-mata mengharapkan pengiktirafan daripada orang sekeliling.

“Apa yang penting, saya fokus pada kerja. Benda lain saya langsung tidak fikir dan tidak mengharapkannya.

“Bukan nak merendahkan sesuatu penganugerahan, tetapi saya rasa tidak perlu. Kalau ada orang yang rasa saya layak untuk mendapatnya, saya terima.

“Tetapi itu bukan yang saya kejar,” katanya ketika ditemui pada sidang media sempena konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat di Bendang KL, di sini, semalam.

Penyanyi Gemuruh yang bakal mengadakan konsert di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 3 Oktober ini berkata, apa juga penganugerahan yang diterima sebelum atau selepas ini tetap dihargai dan dianggap sebagai bonus.

Katanya, pengiktirafan berkenaan boleh menjadi suntikan semangat untuknya terus menghasilkan karya terbaik.

Dalam pada itu, Faizal mengumumkan kumpulan nasyid Mirwana sebagai artis undangan pada konsert berkenaan.

Menjelaskan pemilihan kumpulan yang terkenal menerusi lagu Aku Tanpa Cintamu itu, Faizal berkata, Mirwana mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan awal kerjaya seninya.

“Sebenarnya, ramai yang mungkin tidak tahu saya pernah bersama mereka dan saya mula mengenali industri seni ini pun melalui Mirwana.

“Jadi, ini cara saya menghargai dan membalas budi mereka. Saya faham mungkin ramai yang menjangkakan nama yang lebih popular, tetapi Mirwana memang sengaja dipilih untuk memberikan sedikit kejutan.

“Saya rasa ini satu perkara yang menarik apabila Mirwana dapat bersama saya di atas pentas. Saya juga mahu berkongsi pentas dengan mereka selepas sekian lama tidak berpeluang berbuat demikian,” katanya.

Faizal berkata, dia juga pernah menghasilkan beberapa lagu bersama kumpulan berkenaan, namun jarang berpeluang berkongsi pentas selepas meninggalkan Mirwana pada 2005.

“Lagipun, saya memang ada menghasilkan beberapa lagu bersama mereka, tetapi jarang dilihat bersama di atas pentas.

“Jadi, saya rasa ini cara terbaik untuk saya kembali berkongsi pentas dengan mereka,” katanya.

Konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat menjadi konsert solo berskala besar pertama penyanyi itu selepas tiga tahun.

Kali terakhir Faizal mengadakan konsert adalah menerusi Aku Faizal Tahir Live in KL di Dewan Merdeka, World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur pada 2023.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Calon PALAPES Aktif Dikecualikan Empat Ujian

0
ARAU: Calon Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang masih aktif tidak perlu menduduki ujian tertentu dalam proses pemilihan menyertai Angkatan Tetap melalui latihan Pegawai...

CATEGORIES