KUALA LUMPUR – Pelakon dan pempengaruh, Norreen Iman memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai perubahan penampilan terbaharunya selepas melalui episod perceraian, sebaliknya menyerahkan segala urusan kepada Allah.
Norreen atau nama sebenarnya Norreen Iman Abdullah, 32, berkata, kehidupan peribadinya kini bukan lagi sesuatu yang ingin dikongsikan secara terbuka meskipun menyedari ramai mengikuti perkembangan tersebut.
“Doakan yang terbaik. Semua itu antara saya dengan Allah. Itu sahaja,” katanya ringkas kepada Kosmo! Online.
Ditanya mengenai kehidupannya selepas bergelar ibu tunggal, pelakon drama Bahagia Yang Tertangguh itu memaklumkan segala-galanya berada dalam keadaan baik dan bersyukur dikurniakan ketenangan selepas melalui fasa sukar.
“Kehidupan saya sekarang baik. Apa yang anda semua lihat dalam media sosial itu mungkin rentetan daripada perkara pernah berlaku sebelum ini.
“Kalau hendak tahu perkembangan saya, semuanya baik. Anak saya terjaga, ibu sihat dan saya juga okey, alhamdulillah,” ujarnya.
Paling penting kata Norreen, dia kini lebih berhati-hati dalam berkongsi kisah hidup kerana tidak mahu setiap perkara peribadi menjadi tatapan umum.
“Selain itu, saya rasa terlalu peribadi untuk dibincangkan di depan kamera. Kalau ada yang anda baca dalam Threads, biarlah kekal dalam Threads sahaja.
“Saya bukanlah terlalu terbuka untuk berkongsi apa sebenarnya sedang berlaku dalam hidup sekarang. Cukuplah sekadar apa yang perlu diketahui,” tuturnya.
Mengulas sama ada pengalaman lalu membuatkan dirinya lebih memilih untuk menjaga privasi, Norreen mengakui pernah terdetik untuk mempertahankan diri apabila berdepan pelbagai provokasi.
“Sebenarnya bukan itu yang sepatutnya berlaku. Namun apabila timbul provokasi, secara tidak langsung saya juga manusia biasa yang ada perasaan.
“Ada masanya saya rasa mahu simpan semua perkara seperti sepatutnya kerana akhirnya saya pula nampak buruk sebagai individu pernah berada dalam hubungan tersebut.
“Sudah tentu ada ketika saya mahu mempertahankan diri, tetapi tidak mengapa. Saya serahkan sahaja semuanya kepada Tuhan,” jelasnya.
Terdahulu, Norreen disahkan bercerai talak satu dengan bekas suaminya, Mohd. Razzi Abd. Razak di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 21 Mei lalu.
Pelakon itu turut mendedahkan lafaz cerai sebenarnya telah berlaku sejak penghujung tahun lalu dan kini sudah selesai menjalani tempoh idah.
Selepas hampir 15 tahun mendirikan rumah tangga, kedua-duanya sepakat berpisah secara baik serta mengekalkan hubungan ‘co-parenting’ demi kebajikan dua cahaya mata mereka.
Sumber – KOSMO! ONLINE.





