KUALA LUMPUR: Video memaparkan Amira Othman lengkap berbusana pengantin rona putih sambil memegang sejambak bunga mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat.
Klip video yang tular di pelbagai platform media sosial sejak semalam dikatakan ‘memanaskan’ lagi gosip mengenai hari bahagia antara penyanyi dan pelakon itu bersama Fattah Amin.
Kali ini, video yang dimuat naik pengasas jenama pakaian, HijabistaHub, iaitu Wanie Elena di Instagram (IG) seolah-olah memberi petunjuk mengenai sesuatu yang istimewa bakal berlaku.
Foto IG HijabistaHub
Dalam rakaman berdurasi 50 saat itu, Amira tampil dengan senyuman manis dan wajah berseri, sekali gus meninggalkan tanda tanya buat peminat mengenai maksud sebenar di sebaliknya.
Sementara itu, Amira menerusi hantaran di TikTok turut mencuri perhatian apabila dikatakan seolah-olah memberi bayangan mengenai fasa baharu dalam hidupnya.
“Hidup kita semua punya takdir yang berbeza beza. Cepat atau lambat tiada siapa yang tahu urusan Dia (Tuhan). Jangan khuatir tentang perjalanan kita kerana kita ada Dia,” tulisnya.
Meninjau keseluruhan video berkenaan, turut kelihatan sebentuk cincin bersama beberapa dulang hantaran dan kad yang tertera tarikh 26 Ogos dengan inisial huruf A dan F.
Sumber: Berita Harian





