Friday, August 28, 2026
HomeHIBURANAlicia Amin Gigih Bina Otot Dalam 25 Hari Demi Chelot

Alicia Amin Gigih Bina Otot Dalam 25 Hari Demi Chelot

PUTRAJAYA – Hanya diberi tempoh 25 hari untuk mengubah fizikal, pelakon Alicia Amin sanggup ‘memerah’ tenaga membina otot demi memastikan watak Zara dalam filem Chelot tampil meyakinkan di layar lebar.

Alicia, 31, berkata persiapan itu dilakukan secara intensif dengan bantuan jurulatih peribadi, selain mengamalkan pengambilan 170 gram protein pada setiap waktu makan bagi mencapai bentuk tubuh yang diinginkan pengarah, Adrian Teh.

Katanya, dia bukan perlu menurunkan berat badan semata-mata, sebaliknya diminta tampil lebih ‘fit’ dan berotot bagi menyesuaikan diri dengan karakter yang dilakonkan.

“Saya bukan langsung tidak makan, tetapi setiap kali makan, saya pastikan ada protein seperti ikan, ayam atau daging.

“Dalam filem ini, Adrian bukan mahu saya jadi kurus, tetapi ‘fit’ dan berotot. Walaupun tempoh persediaan singkat, saya berjaya juga mencapai potongan badan yang diinginkan,” katanya ketika ditemui pada tayangan filem Chelot, di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Alicia mengakui tidak akan menerima sewenang-wenangnya tawaran filem aksi, terutama jika produksi tidak menyediakan bajet mencukupi untuk menampung keperluan persiapan dan keselamatan pelakon.

Alicia atau nama sebenarnya Raja Alicia Raja Amin berkata, faktor usia juga membuatkannya lebih berhati-hati kerana penggambaran babak aksi mempunyai risiko kecederaan yang perlu dipertimbangkan.

“Saya bukanlah muda sangat, sudah berusia 30-an. Jadi, kalau nak lakukan babak aksi, saya perlu fikirkan pelbagai risiko seperti kecederaan dan sebagainya.

“Bagaimanapun, sekiranya bajet yang diberikan mencukupi dan merangkumi segala keperluan untuk memastikan keselamatan saya terjaga, termasuk mengelakkan kecederaan, pemakanan dan perkara berkaitan, saya akan pertimbangkan.

“Sudah tentu, skrip juga perlu bagus,” katanya.

Menurut Alicia, dia tidak menetapkan genre tertentu dalam pemilihan projek, sebaliknya lebih mementingkan kekuatan skrip dan kualiti cerita.

“Fokus saya selama ini adalah untuk mendapatkan skrip yang baik. Saya tidak kisah sama ada ia filem aksi, drama atau apa saja genre.

“Saya juga teringin untuk berlakon dalam filem komedi romantik, tetapi belum ada rezeki lagi,” katanya.

Alicia berkata, dia bukan tidak berminat dengan filem aksi, namun latihan intensif yang diperlukan untuk menjayakan watak sedemikian memerlukan masa, komitmen serta peruntukan kewangan yang setimpal.

“Bukan saya tidak suka filem aksi. Cuma kalau bajet kecil tetapi pada masa sama mengharapkan saya menjalani latihan selama tiga bulan, itu agak sukar kerana latihan mengambil masa.

“Saya pernah menolak beberapa tawaran atas pelbagai sebab. Tidak guna kalau kita buat kerja tetapi emosi terganggu dan tidak gembira di set penggambaran disebabkan bayaran.

“Kalau buat sesi fotografi sehari dua pun sudah rasa penat, apatah lagi projek panjang yang memakan masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan. Itu akan jadi beban,” katanya.

Filem Chelot yang turut dibintangi barisan pelakon seperti Beto Kusyairy, Shukri Yahaya, Nadhir Nasar dan Shaheizy Sam mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 27 Ogos.

Alicia memainkan watak Zara dalam naskhah arahan Adrian Teh yang mengangkat isu sindiket haram penyeludupan senjata api.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Hatrik Kylian Mbappe Bantu Madrid Belasah Sociedad

0
MADRID - Dalam aksi La Liga, Kylian Mbappe tampil dengan persembahan memukau apabila meledak hatrik untuk membantu Real Madrid membelasah Real Sociedad 4-1, sekali...

CATEGORIES