KUALA LUMPUR, 14 MEI 2026 – Selepas lebih dua dekad dikenali menerusi karya-karya balada dan pop alternatif yang dekat dengan jiwa pendengar, Aizat Amdan kini membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya menerusi single terbaharu berjudul “Ajar Aku”, sebuah kolaborasi bersama band post-hardcore popular, Sekumpulan Orang Gila (SOG).
Diterbitkan di bawah Kasi Gegar Entertainment (KGE), “Ajar Aku” bukan sekadar sebuah kolaborasi biasa, tetapi menjadi simbol keberanian dua identiti muzik berbeza yang memilih untuk keluar daripada zon selesa demi menghasilkan sebuah karya yang jujur, segar dan bereksperimen.

Menggabungkan kelembutan melodi dan penceritaan emosional yang sinonim dengan Aizat bersama tenaga agresif dan kekuatan post-hardcore SOG, lagu ini hadir sebagai sebuah karya pop rock progresif dengan sentuhan sinematik dan alternatif moden yang memberikan identiti tersendiri.
Lahir Secara Organik Menerusi “Dari Studio Podcast”
Menariknya, “Ajar Aku” tercipta secara spontan ketika sesi rakaman “Dari Studio Podcast”, podcast yang dikendalikan Aizat yang memberi fokus kepada proses penghasilan lagu secara langsung bersama tetamu jemputan.
SOG yang hadir sebagai tetamu episod tersebut pada Mei tahun lalu akhirnya menjadi sebahagian daripada proses kreatif yang melahirkan lagu ini dalam tempoh rakaman podcast berlangsung.
“Kami bermula dengan berbual tentang muzik, perjalanan seni dan pengalaman dalam industri. Dalam masa podcast itu juga kami mula membina idea dan akhirnya ‘Ajar Aku’ lahir secara organik daripada sesi tersebut,” kata Aizat.
Pendengar dan peminat juga boleh menyaksikan sendiri detik awal penghasilan lagu itu menerusi episod “Dari Studio EP34” yang tersedia di YouTube.
Karya Tentang Ego, Penerimaan & Keberanian Untuk Terus Belajar
Dari sudut naratif, “Ajar Aku” membawa tema yang cukup dekat dengan kehidupan manusia iaitu tentang keberanian merendahkan ego demi menerima ilmu, kasih sayang dan bimbingan daripada orang di sekeliling.

Walaupun tidak merujuk kepada satu pengalaman spesifik, Aizat menjelaskan bahawa lagu ini merupakan gabungan emosi dan pemerhatian yang terkumpul sepanjang perjalanan hidup dan kerjayanya.
“Ia adalah tentang manusia yang sedang mencari arah dan tidak malu untuk meminta tunjuk ajar. Kadang- kadang kita terlalu ego untuk menerima nasihat sedangkan proses belajar itu sendiri adalah sebahagian daripada kehidupan,” jelasnya.
Gabungan Nuansa Pop Soulful & Post-Hardcore Yang Sinematik
Dari aspek muzik, “Ajar Aku” menjadi titik pertemuan dua karakter bunyi yang berbeza tetapi saling melengkapi.
Aizat yang dikenali dengan gaya nyanyian soulful dan melodi pop yang lembut digandingkan dengan karakter vokal Raja Nazrin Shah yang lebih keras dan agresif, sekali gus mewujudkan kesan dinamik yang unik sepanjang lagu.

Menurut Aizat, proses mencari keseimbangan antara dua dunia tersebut menjadi antara cabaran terbesar ketika rakaman berlangsung.
“Suara saya lebih ‘soulful’ manakala Nazrin pula mempunyai karakter rock yang lebih kasar. Jadi kami banyak bereksperimen untuk mencari titik tengah supaya kedua-dua identiti itu masih kekal tetapi kedengaran seimbang,” katanya.
Lagu ini turut diperkukuhkan dengan sentuhan produksi daripada Anas Amdan yang bertanggungjawab membentuk susunan muzik serta elemen ‘strings’ dan tekstur sinematik yang memberi skala lebih dramatik kepada karya tersebut.
Kemunculan Istimewa Yuna
Salah satu kejutan terbesar dalam “Ajar Aku” pastinya kemunculan suara istimewa daripada Yuna di penghujung lagu.
Menurut Aizat, ketika proses rakaman berlangsung di Studio KGE, Yuna kebetulan berada di studio yang sama untuk menyiapkan album terbarunya sebelum diperdengarkan dengan lagu tersebut.
Menariknya, bahagian vokal wanita pada penghujung lagu asalnya hanyalah suara AI yang digunakan sebagai demo sementara.

“Bila Yuna dengar bahagian akhirnya, dia terus kata, ‘Biar saya yang rakamkan bahagian ini.’ Jadi daripada menggunakan AI, kami dapat sesuatu yang jauh lebih hidup dan bermakna,” ujar Aizat.
Menurut Aizat lagi, Yuna juga merupakan antara individu terawal yang mempercayai potensi lagu tersebut, termasuk memberi dorongan untuk menghasilkan video muzik (MV) rasmi.
Harapan Aizat Amdan & Sekumpulan Orang Gila
Bagi Aizat, “Ajar Aku” bukan sekadar percubaan mencampurkan dua genre berbeza, tetapi merupakan usaha untuk memperluaskan landskap muzik tempatan dengan pendekatan yang lebih berani dan terbuka.

Aizat berharap karya ini dapat diterima sebagai sebuah eksperimen muzik yang mempunyai nilai artistik tinggi tanpa mengorbankan jiwa dan identiti setiap artis yang terlibat.
“Saya berharap pendengar dapat menerima gabungan bunyi baharu ini dan melihat bahawa muzik tempatan juga mampu bereksperimen tanpa kehilangan emosi dan kejujurannya. Insya-Allah, saya mahu ‘Ajar Aku’ menjadi lagu yang ‘timeless’ dan terus relevan walaupun masa berlalu,” akhirinya.
Dengarkan Di Platform Digital Sekarang
Single “Ajar Aku” oleh Aizat Amdan x Sekumpulan Orang Gila kini boleh distrim pada bila-bila masa di semua platform digital utama seperti Apple Music, Spotify dan YouTube.





