KUANTAN, 21 Oktober- Tiga lelaki ditemukan maut dipercayai akibat keracunan di dalam sebuah kabin di tapak projek di Jalan Anggerik, Rompin, Selasa lalu.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman mengesahkan perkara kejadian.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian yang melibatkan mangsa lelaki Myanmar berusia antara 21 dan 33 tahun itu pada 3.15 petang, hari yang sama.
“Hasil pemeriksaan awal terhadap kawasan sekeliling dan badan mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dapat dikaitkan,” katanya.
Beliau berkata bedah siasat telah dijalankan di Hospital Rompin semalam dan mendapati mangsa meninggal dunia akibat keracunan.
Bagaimanapun, punca sebenar belum diketahui kerana masih menunggu laporan ujian makmal.
Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, katanya.