Kuala Lumpur: Semua kategori penyakit mental boleh dirawat dan ada rawatan berkesan namun ia bergantung pada tahap penyakit terbabit.
Pakar psikiatri, Dr Hazli Zakaria berkata, berdasarkan maklumat dilaporkan media, bekas pemain hoki remaja kebangsaan, Mohamad Asmawi Zaidi dipercayai menghidap penyakit skizofrenia dengan gejala utamanya adalah halusinasi dan delusi.
“Penyakit mental ada pelbagai jenis dan banyak kategori. skizofrenia tergolong di bawah kategori kecelaruan psikosis iaitu salah satu penyakit mental yang serius.
“Bagi mereka yang mengidap skizofrenia, rawatan bukan sahaja dari segi ubatan namun juga memerlukan rawatan dari aspek psikososial dan mengambil masa untuk mencapai tahap pemulihan optima,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, masalah utama merawat penyakit itu bukan kerana tiada rawatan ubatan berkesan, namun pesakit sendiri tidak percaya mereka menghidap penyakit berkenaan meskipun pernah dimasukkan ke hospital psikiatri.
“Apabila sudah tidak ada lagi gejala dialami selepas dibantu oleh ubat, pesakit akan mula tidak mengambil ubat seperti sepatutnya kerana beranggapan sudah sihat seperti sebelumnya.
“Keluarga juga selalunya setuju dengan keputusan itu kerana mereka melihat pesakit sudah tidak lagi menunjukkan gejala penyakit berkenaan.
“Selepas dua tiga bulan tidak mengambil ubat, mereka akan mengalami semula gejala penyakit itu dengan episod baru semakin kerap dan respons ubat semakin tidak berkesan sekali gus mengambil masa lebih lama untuk pulih,” katanya.
Beliau berkata, adalah penting untuk ahli keluarga faham mengenai perkara itu kerana pesakit sendiri tidak percaya mereka perlu mengambil ubat dan ia adalah salah satu ciri utama skizofrenia.
Katanya, ada juga antara pesakit di bawah kategori treatment resistant (kebal terhadap rawatan) yang tidak dapat dirawat menggunakan kombinasi ubat biasa.
“Kategori ini pun ada kaedah rawatannya dan ada ubat khas untuk mereka. Pada pendapat saya, sesiapa sahaja yang mengalami kondisi ini masih ada harapan untuk berfungsi dan meneruskan kehidupan mereka dengan syarat mendapat rawatan optimum.
“Malaysia bertuah kerana kita ada ubat untuk skizofrenia dalam pelbagai bentuk, ubat majan, air dan secara suntikan. Meskipun ubat yang ada berkesan namun jika pesakit tidak mengambilnya, tidak ada gunanya,” katanya.
Menurutnya, keluarga dan masyarakat juga perlu memainkan peranan untuk mengurangkan stigma supaya pesakit tidak takut dan malu untuk mendapat rawatan lebih awal dan rawatan susulan.
“Seperti mana penyakit penyakit tidak berjangkit (NCD) kronik lain, rawatan memerlukan tempoh yang panjang.
“Bagi orang ramai yang mempunyai ahli keluarga menghidap penyakit itu dinasihatkan supaya tidak berhenti mendapatkan rawatan susulan,” katanya.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Asmawi mengalami gangguan mental termasuk halusinasi yang dikenal pasti menjadi punca bekas pemain hoki kebangsaan itu menjadi kurang siuman.
Sumber – Harian Metro





