SAR Empat Lagi Mangsa Runtuhan Di Batu Maung Diteruskan – Bomba

0
832
Foto: Berita RTM

BATU MAUNG, 29 November- Operasi mencari dan menyelamat SAR empat lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam insiden runtuhan bangunan logistik yang sedang dalam pembinaan di Batu Maung, tidak berhenti sejak malam tadi dan diteruskan sehingga ke pagi ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan, tugasan mengalihkan struktur yang runtuh oleh jentera berat sedang dijalankan.

“Kren digunakan untuk mengalihkan struktur beam berat yang menghalang laluan masuk ke runtuhan dan kerja-kerja pengalihan ini memerlukan sedikit masa,” menurut JBPM dalam kenyataan pagi ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Khairy Sulaiman menjelaskan operasi SAR berkenaan tidak akan dihentikan selagi kesemua mangsa tidak ditemui.

Jelasnya, pihaknya dimaklumkan oleh kontraktor dan menerusi petunjuk daripada anjing pengesan, mangsa-mangsa yang masih tertimbus berada pada jarak berdekatan antara satu sama lain.

“Maklumat yang kami terima daripada pihak kontraktor dan juga pemaju mangsa-mangsa berada di satu lokasi yang berdekatan dan kami menggunakan Unit K9 anjing pengesan untuk membantu mengesan mangsa-mangsa yang tertimbus.

“Keluasan lokasi kejadian adalah sebesar gelanggang bola kearanjang jadi lokasinya dalam lingkungan jarak hanya beberapa meter sahaja antara satu sama lain,”katanya.

Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan kren bagi mengangkat struktur binaan bagi memudahkan akses mencari mangsa.

Terdahulu Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad ketika mengesahkan kejadian memaklumkan, tiga mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan ditemukan maut.

Manakala dua lagi mengalami cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Operasi kini sedang fokus mencari empat lagi warga Bangladesh yang dikhuatiri tertimbus.

Kejadian melibatkan kawasan pembinaan gudang sebuah syarikat swasta berhampiran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Batu Maung.

Terdahulu, dalam kejadian pada 9.45 malam itu, bomba mengesahkan terdapat 18 pekerja bertugas di lokasi.

Sembilan daripada mereka kemudian berhenti rehat untuk solat manakala sembilan lagi meneruskan kerja sebelum bangunan berkenaan runtuh.

Siasatan awal mendapati rasuk sepanjang 12 meter dengan berat sehingga 14 tan itu jatuh dan terlanggar rasuk yang lain.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here