Thursday, May 7, 2026
HomeBERITARosmaini Tidak Mengaku Pukul Isteri Hingga Cedera Parah

Rosmaini Tidak Mengaku Pukul Isteri Hingga Cedera Parah

SUNGAI PETANI – Bekas suami kepada wanita koma, Jahidah Nordin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memukul isterinya sehingga cedera parah pada Mac dan bulan lalu.

Tertuduh, Rosmaini Abdul Raof, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Nurfitri Moktar, 39, dengan menggunakan kerusi plastik dan getah paip di sebuah rumah di Bandar Amanjaya, di sini kira-kira pukul 5 petang, 29 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada 11 anak itu dituduh melakukan kesalahan tersebut ke atas mangsa sama menggunakan penyangkut baju dan besi penyangkut langsir di rumah sama kira-kira pukul 9 pagi, 23 April lepas.

Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326A KK di bawah akta sama kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau objek.

Kesalahan di bawah seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Jika kesalahan tersebut dilakukan terhadap pasangan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan dua kali ganda bagi tempoh maksimum di bawah Seksyen 326 KK.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ruzana Abdul Rahim.

Pada prosiding itu, Khairul Anuar membantah sebarang jaminan diberikan kerana tertuduh kini berstatus banduan dan sedang menjalani hukuman penjara, selain dalam perbicaraan kes lain bagi kesalahan hampir serupa di Mahkamah Majistret Alor Setar.

Ruzana kemudian memohon jaminan dibenarkan dengan syarat kerana tertuduh menanggung dua isteri dan 11 anak yang masih bersekolah.

Hakim Najwa tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 16 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan.

Dalam prosiding sama, Najwa turut bertanya tentang tangan kiri tertuduh yang dalam keadaan berbalut dan sama ada telah mendapatkan rawatan.

Tertuduh memaklumkan sudah menerima rawatan dan mendakwa tangannya mengalami kecederaan patah ketika tangkapan dilakukan sebelum ini.

Sementara itu, abang mangsa dilihat turut berada dalam kamar mahkamah bagi mengikuti prosiding pertuduhan tersebut.

Rosmaini ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 14 tahun di Penjara Kajang bagi kes mencederakan bekas isterinya, Jahidah yang ketika kejadian sedang hamil sehingga koma pada 2021.

Hukuman tersebut dijatuhi Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Isnin lalu. Mahkamah turut memerintahkan Rosmaini membayar pampasan RM25,000 kepada Jahidah melalui ahli keluarga serta penjara enam bulan sekiranya gagal berbuat demikian.

Kosmo! sebelum ini melaporkan mangsa berusia 39 tahun yang merupakan penjawat awam cedera parah, manakala kandungan berusia 12 minggu turut gugur selepas dipukul suaminya di sebuah rumah di sini bulan lalu.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Bertarung’ Dengan Zul Ariffin, Peti Suara Bront Palarae Cedera

0
KUALA LUMPUR – Ketika pelakon lain mengalami kecederaan fizikal, aktor Bront Palarae pula berdepan situasi berbeza iaitu mengalami masalah ‘hilang’ suara ketika menjalani penggambaran...

CATEGORIES