Remaja 19 Tahun Menangis Diperintah Ke Sekolah Henry Gurney

0
458
Foto: Utusan Borneo Online

GEORGE TOWN, 6 November- Mahkamah Sesyen George Town memerintahkan remaja berusia 19 tahun ke sekolah Henry Gurney di Telok Mas, Melaka selepas didapati bersalah merompak seorang pelancong wanita dari Kanada bulan lalu.

Hakim Mazdi Abdul Hamid memerintahkan tertuduh Muhamad Imran Yahya menjalani hukuman itu selama tiga tahun atau hingga berusia 21 tahun, mana-mana lebih dahulu selepas dia membuat pengakuan bersalah.

Hakim membuat keputusan itu selepas mengambil kira tujuh faktor antaranya ia merupakan kesalahan pertama tertuduh serta kejadian itu tidak menyebabkan kerugian dan kecederaan kepada mangsa.

Menurut fakta kes, kira-kira pukul 5.20 petang, 28 Oktober lalu, tertuduh menunggang motosikal jenis Honda Dash merompak beg mangsa yang mengandungi diletakkan di atas meja makan sebuah restoran di Lebuh Campbell, George Town sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun, nombor plat motosikalnya sempat dilihat saksi kejadian sebelum dia ditahan pada hari yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika memohon mahkamah mengurangkan tempoh hukuman, Muhamad Imran dilihat sebak sambil berkata dia anak bongsu daripada empat beradik dan turut membantu menanggung kedua ibu bapanya yang kini tidak bekerja selain telah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatan sama.

Sementara itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan di mahkamah sesyen berasingan.

Dia dituduh merompak pelancong wanita warga Filipina di Batu Feringghi pada 3 Oktober dan seorang wanita tempatan di belakang premis di Lebuh Campbell pada 28 Oktober.

Kes pertama iaitu pada 3 Oktober didakwa di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun, denda atau sebat, jika sabit kesalahan manakala bagi kes kedua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Hakim Mohammad Khalid Ab Karim menawarkan jaminan RM5,000 dan RM7,000 bagi setiap pertuduhan beserta dua syarat tambahan iaitu perlu melapor diri pada setiap satu hari bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai dan tidak mengganggu mangsa.

Kedua-dua kes berkenaan akan disebut semula pada 4 Disember depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here