Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited membantu pelajar untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA) dan Politeknik melalui pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP). Setiap pelajar yang layak ditawarkan WPP berjumlah RM1,500 bertujuan untuk menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar memasuki UA dan Politeknik sekali gus menjaga kebajikan para pelajar.
WPP ini diberikan kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima WPP semasa membuat permohonan kemasukan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan UA. Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar juga merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan. Semenjak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 31 Mei 2025, seramai 990,638 pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.46 bilion.

Pengerusi PTPTN (tiga dari kiri) ketika sesi ziarah di rumah pelajar.
PTPTN telah menyediakan peruntukan berjumlah RM47.8 juta yang akan memberi manfaat kepada seramai 31,850 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian peringkat Diploma di UA dan Politeknik bagi kemasukan sesi Julai 2025. Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan boleh menunaikan WPP tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 2 Julai 2025 dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan). Tempoh sah laku WPP adalah selama dua (2) bulan bermula 2 Julai 2025 hingga 1 September 2025.
Pada hari ini, PTPTN menyantuni pelajar yang ditawarkan WPP melalui sesi ziarah ke rumah pelajar oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN di kawasan Bukit Gelugor, Pulau Pinang. Semasa sesi ziarah, beliau telah menyampaikan surat tawaran WPP kepada pelajar yang layak. Turut serta, Puan Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN serta Cik Rusnani Othman, Pengurus Cawangan Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang.
Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim berkata, “PTPTN sentiasa komited untuk memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi. Inisiatif pemberian WPP PTPTN ini adalah untuk membantu menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar baharu memasuki UA dan Politeknik.”
“Di Negeri Pulau Pinang seramai 1,419 orang pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan berjumlah RM2.13 juta. Manakala, bagi kawasan Bukit Gelugor pula, seramai 87 pelajar telah ditawarkan WPP melibatkan peruntukan berjumlah RM130,500. Tahniah dan syabas kepada semua pelajar-pelajar di atas kejayaan melangkah ke menara gading. WPP PTPTN yang diterima oleh para pelajar ini haruslah digunakan dengan sebaik mungkin. Tunjukkanlah rasa syukur dan terima kasih dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi modal insan kepada negara,” tambah beliau lagi.
Untuk makluman, para pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap UA dan Politeknik untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya. Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN.
Para pelajar boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar UA dan Politeknik masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan. Maklumat lanjut berkenaan WPP dan pinjaman PTPTN juga boleh diperolehi melalui aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.





