Saturday, April 18, 2026
HomeBERITAPenggabungan IKB dan KPBKL Tak Libatkan Kos Tambahan, Tingkat Kecekapan Sumber Sedia...

Penggabungan IKB dan KPBKL Tak Libatkan Kos Tambahan, Tingkat Kecekapan Sumber Sedia Ada

Kuala Lumpur: Penstrukturan semula pengurusan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) yang kini diletakkan di bawah naungan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL), di bawah seliaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dilaksanakan tanpa melibatkan sebarang kos tambahan. Pendekatan ini dilihat sebagai langkah bijak dalam mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dan prasarana sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan bahawa penjenamaan semula dua institusi tersebut di bawah satu pengurusan baharu, dikenali sebagai Kolej Profesional (KP) MAIWP, bertujuan memperkukuh peranan pendidikan dalam membantu golongan asnaf menerusi penggunaan dana zakat secara berhemah dan strategik.

“Beberapa pihak luar mempertikai penggabungan ini dan mengaitkannya dengan kemungkinan penyalahgunaan dana zakat, namun dakwaan tersebut tidak berasas. Malah, objektif utama KP MAIWP ialah memastikan dana zakat dimanfaatkan secara maksimum untuk melahirkan generasi asnaf yang berjaya dan mampu memperbaiki taraf hidup keluarga mereka,” katanya.

Menurut beliau, langkah penyatuan ini juga memanfaatkan sepenuhnya kemudahan sedia ada tanpa perlu perbelanjaan tambahan. Sebagai contoh, pelajar IKB yang sebelum ini tidak mempunyai pusat sumber kini boleh menggunakan kemudahan pusat sumber di bangunan KPBKL, sekali gus mempertingkatkan akses kepada pembelajaran yang lebih kondusif.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Peralihan Penstrukturan Pengurusan IKB di bawah KPBKL MAIWP yang diadakan di ibu negara, hari ini.

Menjawab kritikan sesetengah pihak mengenai kemungkinan berlakunya ketirisan dana zakat, Datuk Dr Mohd Na’im menegaskan bahawa pelaksanaan ini telah melalui proses kajian menyeluruh dan analisis pelbagai aspek. Ia juga selaras dengan dasar rasionalisasi kerajaan dan telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Langkah penggabungan ini sama sekali tidak menjejaskan kebajikan pelajar asnaf. Sebaliknya, ia akan terus dipelihara dan ditambah baik dengan memberi fokus kepada peningkatan mutu pendidikan serta kemudahan yang ditawarkan.

“Malah, dari segi kurikulum, silibus dan pengiktirafan sijil, IKB akan mengalami penambahbaikan bagi memastikan ia kekal relevan, berdaya saing dan selari dengan kehendak pasaran semasa,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan bahawa mana-mana pihak yang membantah usaha ini seolah-olah mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh Jemaah Menteri serta perkenan Yang di-Pertuan Agong.

KPBKL yang kini memasuki tahun ke-33 penubuhannya pada 23 April lalu, telah melahirkan lebih 18,000 graduan sejak ditubuhkan. Usaha penggabungan ini dijangka memperkukuh lagi peranan institusi di bawah MAIWP dalam membangunkan pendidikan Islam serta memartabatkan kebajikan asnaf melalui pendekatan lebih sistematik dan mampan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Walau Hanya Game Atau Berlakon, Kita Kena Letakkan Sempadan’

0
KUALA LUMPUR – Pelakon Intan Ladyana menolak tanggapan mempertahankan tindakan suaminya, Harris Alif yang terkait dengan dakwaan ‘microcheating’ atau mesra dengan wanita lain dalam...

CATEGORIES