MADRID: Suhu di seluruh Sepanyol mencecah paras tertinggi untuk Oktober dan dijangka berlarutan lebih seminggu.
Agensi cuaca AEMET, semalam berkata suhu tinggi di seluruh Sepanyol bermula pada Jumaat lalu dan memuncak pada Ahad dengan 38.2 darjah Celsius di bandar selatan Montoro berdekatan Cordoba.
Rekod sebelum ini bagi bulan Oktober ialah pada 2014, mencecah 37.5 darjah Celsius di bandar selatan Marbella.
“Pada 1 Oktober lalu, ia mencapai paras tertinggi sepanjang masa untuk tahun ini di hampir seluruh Semenanjung Iberia,” katanya.
Menurut Bernama, hampir 40 peratus daripada stesen cuaca mencatatkan suhu 32 darjah Celsius atau lebih tinggi.
Keadaan yang sama berulang pada hari Isnin, dengan bandar selatan Seville mencecah 38.1 darjah Celsius.
Walaupun sudah terbiasa dengan suhu musim panas yang tinggi, terutamanya di selatan, Sepanyol mengalami peningkatan dalam gelombang haba lebih lama lagi lebih panas.
Sepanyol mencatatkan tahun paling panasnya pada 2022 dan berada dalam cengkaman gelombang panas berturut-turut tahun ini yang bermula pada April lalu dan diburukkan lagi kemarau berterusan, kata Bernama lagi.
Pakar berkata gelombang haba berulang, yang semakin lama dan lebih panas, adalah akibat daripada perubahan iklim.
Semenanjung Iberia sedang menanggung beban perubahan iklim di Eropah dengan kemarau dan kebakaran hutan menjadi semakin biasa.
Sumber: Berita Harian





