Kuala Lumpur: Projek Data Telefon Pintar (Mobile Phone Data- MPD), satu inisiatif strategik dalam usaha memanfaatkan data digital menyokong pembangunan sosioekonomi negara.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam soal jawab memberitahu, projek berkenaan dapat memperkukuh keupayaan perancangan berpaksikan bukti.
“Projek MPD adalah inisiatif kerajaan untuk guna data pergerakan rakyat yang dianonimkan (tiada maklumat peribadi) daripada telefon bimbit untuk merancang perkhidmatan awam.
“Data merangkumi penggunaan pengangkutan jalan raya, pengangkutan awam, kawasan pelancongan atau semasa bencana.
“Contoh, jika terdapat data menunjukkan ramai pengguna bergerak dari Rawang ke Kuala Lumpur setiap pagi, maklumat ini boleh digunakan untuk menambah bilangan bas ekspres atau menaik taraf jalan sedia ada,” jelasnya.
MCMC memberi jaminan bahawa projek MPD dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, telus dan mengutamakan keselamatan serta privasi rakyat.
“Matlamat utama projek untuk menjadikan perancangan pembangunan negara lebih tepat, berasaskan data sah dan selamat.
“Selepas data digunakan untuk analisis, ia dipadam atau disimpan dengan selamat mengikut garis panduan ketat serta tiada penyimpanan kekal dilakukan tanpa sebab sah,” ujarnya.
MCMC turut menegaskan data dikumpul adalah data lokasi ketika telefon bimbit berhubung dengan menara telekomunikasi.
“Namun, tiada sebarang nama, nombor telefon atau maklumat peribadi disimpan atau digunakan.
“Semua data diproses secara agregat dan tidak boleh ditelusuri kembali kepada mana-mana individu.
“Contohnya, sistem hanya tahu ‘5,000 telefon bergerak dari Seremban ke Nilai’, tetapi tidak tahu siapa pemilik telefon tersebut,” katanya lagi.
Jelasnya, projek itu bukan alat penjejak sebaliknya ia hanya mengumpulkan corak pergerakan rakyat secara umum untuk tujuan perancangan.
Data terkumpul tidak boleh diakses syarikat swasta atau pihak ketiga hanya pegawai terlatih MCMC dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mempunyai akses terbatas kepada data berkaitan.
“Dalam usaha menjaga privasi pengguna, MCMC turut mematuhi pelbagai garis panduan keselamatan dan undang-undang.
“Projek ini turut mematuhi piawaian antarabangsa ditetapkan oleh badan seperti International Telecommunication Union (ITU) dan Global Mobile Association (GMA).
“Malah, pendekatan ini turut diamalkan di negara seperti Sepanyol, Brazil, Indonesia dan Perancis, terutamanya untuk menangani isu kesesakan dan pembangunan bandar,” ujarnya.
MCMC juga menolak dakwaan salah faham media luar bahawa kerajaan cuba menjejaki pergerakan individu rakyat.
“Ini bukan soal intip rakyat sebaliknya seolah kajian statistik pelancong untuk menilai jumlah kunjungan datang ke Sabah, tapi bukan berkenaan siapa individu yang datang,” tegas MCMC.