SABAK BERNAM – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan dua kapal nelayan tempatan kelas C yang disyaki melanggar syarat lesen ketika menjalankan aktiviti perikanan di perairan negeri itu.
Dalam operasi itu, seramai sembilan kru warga asing terdiri daripada warga Myanmar dan Indonesia diperiksa, manakala kira-kira 1,450 kilogram (kg) ikan turut dirampas.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, berkata tangkapan pertama dilakukan pada jam 5 petang Sabtu lalu di kedudukan 12.3 batu nautika barat daya Tanjung Sauh, Sungai Besar.
Beliau berkata, vesel berkenaan dikendalikan tekong bersama empat kru warga Myanmar berusia antara 44 hingga 56 tahun.
“Tangkapan kedua dilakukan pada 5.15 petang semalam di kedudukan 26.2 batu nautika barat daya Tanjung Sauh, Sungai Besar.
“Pemeriksaan awal mendapati vesel terbabit dikendalikan tekong bersama tiga kru warga Indonesia berusia antara 33 hingga 48 tahun,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua kru warga asing terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, selain tidak memiliki permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk bekerja di atas vesel berkenaan.
“Kedua-dua vesel bersama hasil rampasan kemudian diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 berhubung kesalahan melanggar syarat lesen serta kegagalan mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Sumber – Berita Harian





