Melaka: Ancaman keselamatan negara kini bersifat kompleks dan luar jangka termasuk membabitkan elemen ‘lone wolf’ atau keganasan dilakukan individu akibat pengaruh radikalisme di media sosial.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, sehubungan itu ia menuntut tahap kesiapsiagaan ‘Keselamatan Menyeluruh’ atau ‘Comprehensive Security’ (COMSEC) dalam usaha meningkatkan lagi keselamatan Malaysia.
Tegas beliau biarpun Malaysia tersenarai sebagai negara ke 10 terselamat oleh Indeks Keamanan Global 2024 (GPI), ancaman keselamatan wujud dari dalam dan luar serta individu tidak boleh dipandang mudah.
“Alhamdulillah, Malaysia amnya berada dalam keadaan selamat. Sebagai bukti, kita kini tersenarai sebagai negara ke-10 terselamat mengikut GPI yang dikeluarkan baru-baru ini
“Bagaimanapun, kita tidak boleh leka. Sebagai contoh, Malaysia sendiri menghadapi ancaman dalam dan luar, ancaman keganasan yang bersifat ‘lone wolf’.
“Radikalisasi melalui media sosial dan propaganda ekstremis boleh mempengaruhi individu untuk terbabit dalam aktiviti keganasan,” katanya sambil memberikan contoh insiden serangan dikaitkan ekstremis agama ke atas Balai Polis Ulu Tiram sebelum ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Latih Amal Keselamatan Menyeluruh (EX COMSEC) Peringkat Nasional Siri 2/2024 anjuran Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri di Malaysian Refining Company Sdn Bhd (MRCSB), Sg Udang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Seri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.
Menurut Ahmad Zahid konsep ‘Keselamatan Menyeluruh’ atau ‘Comprehensive Security’ (COMSEC) diperkenal Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 dilihat amat sesuai dalam menangani ancaman keselamatan negara masa kini yang bersifat kompleks dan luar jangka.
Katanya, konsep itu hendaklah digerakkan secara berterusan menerusi kerjasama pelbagai pihak merentas sektoral yang memerlukan tindakan terintegrasi dari aspek dasar, strategi, tindakan operasi dan pengurusan sumber.
Sumber – Hmetro