PETALING JAYA – Peguam Mahmud Abdul Jumaat memaklumkan beliau masih mewakili ibu kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang kini ditahan reman bagi membantu siasatan kes bunuh anaknya.
Mahmud menjelaskan perkara itu melalui kenyataan di laman sosial Facebooknya, menyatakan keputusan tersebut dibuat setelah berjumpa dengan keluarga berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa, seperti rakyat Malaysia yang lain, beliau menginginkan keadilan bagi arwah Zayn Rayyan yang dibunuh dan diseksa dengan kejam.
“Oleh itu, saya hairan dengan kenyataan media yang dibuat oleh datuk arwah baru-baru ini yang menyatakan tiada perlantikan peguam secara rasmi oleh keluarga. Adakah perlu untuk membuat kenyataan media seolah-olah sengaja memprovokasi saya?” katanya hari ini.
Pada 4 Jun lalu, Mahmud, yang mewakili ibu bapa Zayn Rayyan, telah memutuskan untuk menarik diri sebagai peguam pasangan itu untuk memberi tumpuan kepada beberapa kes lain yang sedang dikendalikannya.
Mahmud menegaskan bahawa tiada isu salah faham membabitkan pihaknya, media, mahupun keluarga bapa arwah Zayn Rayyan.
“Pada 31 Mei, saya dihubungi oleh keluarga bapa Zayn Rayyan pada pukul 11 malam dan dimaklumkan bahawa ibu bapa arwah, Zaim dan Isma, telah ditahan pagi Jumaat dan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman keesokan harinya.
“Saya ingin tekankan bahawa ini bukan inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi inisiatif keluarga bapa Zayn Rayyan sendiri. Dari mana datang cerita bahawa saya ini dari NGO?” soalnya.
Mengulas mengenai surat pelantikan rasmi, Mahmud berkata beliau tidak menyangka ia akan menjadi isu yang dibangkitkan oleh keluarga bapa arwah Zayn Rayyan.
Menurutnya, tiada kewajipan untuk surat pelantikan peguam secara rasmi bagi kes jenayah, asalkan orang yang disyaki (OYDS) atau wakil keluarga setuju untuk melantik peguam tersebut.
“Saya dengan suci hati berniat ingin membantu mereka. Mereka sudah kehilangan anak, direman pula sebagai OYDS, besar dugaan mereka.
“Sebelum masuk ke mahkamah, saya telah mengesahkan dengan keluarga ibu bapa untuk memberikan amanah ini kepada saya bagi bantahan reman.
“Saya memang hadir di mahkamah pada hari tersebut, kami peguam yang dipanggil oleh keluarga mereka. Jika tidak melantik kami, kenapa panggil kami?” jelasnya.
Mahmud menambah bahawa datuk Zayn Rayyan telah meminta untuk berjumpa dan berbincang dengannya berhubung kes tersebut di pejabatnya.
“Selepas perjumpaan itu, saya memutuskan untuk tidak mewakili mereka lagi atas sebab-sebab tertentu.
“Kemudian, saya mendengar berita bahawa saya tidak pernah dilantik sebagai peguam ibu bapa Zayn Rayyan. Ini adalah fitnah. Saya hadir di mahkamah tempoh hari untuk apa? Kenapa hubungi saya malam itu untuk datang ke mahkamah? Keluarga Zaim, terutama ibu Zaim, sentiasa menghubungi saya sepanjang tempoh itu,” ujarnya.
Bagaimanapun, Mahmud menyatakan bahawa datuk arwah Zayn Rayyan telah menghubunginya melalui WhatsApp untuk memohon maaf mengenai apa yang berlaku.
Oleh itu, beliau menegaskan bahawa beliau masih mewakili ibu arwah Zayn Rayyan dan telah hadir di mahkamah tempoh hari untuk mewakilinya.
“Apa pun, saya ucapkan terima kasih kepada keluarga Isma atas pencerahan yang dibuat dengan mengesahkan bahawa kami sememangnya membantu keluarga mereka dari awal kes ini.
“Orang berbudi kita berbahasa. Kalau tidak mahu ucapkan terima kasih sekalipun, sekurang-kurangnya janganlah sakiti hati orang yang membantu kita,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE
Sumber: Kosmo