Kuala Lumpur: Negara mencatat lonjakan ketara dalam World Competitiveness Ranking (WCR) 2025 dengan peningkatan sebanyak 11 anak tangga daripada kedudukan ke-34 ke tangga ke-23.
Laporan terbaru itu diumumkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) berpangkalan di Switzerland.
Pakar ekonomi terkemuka negara, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai, menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai petanda jelas pemulihan ekonomi negara kukuh.
Katanya, lonjakan itu juga menunjukkan keberkesanan dasar-dasar ekonomi semasa dilaksanakan kerajaan.
“Lonjakan 11 anak tangga ini jarang berlaku dan ia menunjukkan ekonomi negara sedang pulih dengan pantas dan lebih mantap berbanding tahun sebelumnya.
“Tahun lalu, negara jatuh tujuh tangga, tetapi kali ini kedudukan melangkah lebih jauh ke hadapan,” jelasnya.
Menurut Prof. Barjoyai, gabungan dasar fiskal berhati-hati, pelaksanaan subsidi bersasar serta keyakinan pelabur asing semakin meningkat menjadi pemangkin utama kepada peningkatan ini.
“Penstrukturan semula subsidi dilaksanakan menunjukkan impak positif struktur ekonomi negara memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan ekonomi lebih mapan.
“Kejayaan ini memberi petunjuk bahawa usaha kerajaan dalam memperbaiki tata kelola fiskal dan memperkukuh kepercayaan pasaran menampakkan hasil,” katanya lagi.
Prof. Barjoyai menjelaskan, kesan langsung kepada rakyat bagaimanapun belum sepenuhnya dirasai khususnya dari segi kos sara hidup dan pendapatan boleh guna.
“Dalam jangka masa sederhana, rakyat mula menikmati manfaat melalui peningkatan peluang pekerjaan, pertumbuhan pendapatan dan persekitaran ekonomi lebih kondusif,” jelasnya.
Tambah beliau, kedudukan negara semakin kukuh dalam WCR dijangka akan merangsang pasaran kerja, mempercepatkan pelaburan bahkan menyokong pertumbuhan perniagaan domestik.
“Dengan keyakinan pasaran semakin pulih, gaji dalam sektor swasta juga dijangka meningkat seiring dengan pertumbuhan ekonomi,” ujarnya.
World Competitiveness Ranking menilai daya saing 64 negara berdasarkan pelbagai indikator termasuk prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.
Peningkatan mendadak negara dalam kedudukan ini memberi isyarat positif kepada komuniti antarabangsa bahawa negara berada di landasan yang betul untuk pemulihan dan pertumbuhan berterusan.