KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki warga China memandu sebuah ‘sports car’ Lamborghini tanpa lesen, membawa padah apabila ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam sekatan jalan raya di Jalan Bangsar, di sini, malam tadi.
Malah, kenderaan mewah milik lelaki itu yang juga seorang pencipta kandungan berusia 28 tahun, kemudian disita untuk tindakan lanjut.
Terdahulu ketika pemeriksaan melalui Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 yang bermula jam 8 malam, pegawai penguat kuasa JPJ meminta lelaki itu mengemukakan lesen memandu sah.
Pemandu itu yang difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah di Damansara Heights bersama seorang individu dikatakan kekasihnya, bagaimanapun mengaku tidak memiliki dokumen terbabit.
Namun, lelaki itu mengemukakan pasport miliknya kepada pegawai terbabit dan mendakwa sudah menetap di negara ini sejak tujuh tahun lalu.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam, berkata lelaki itu ialah antara 211 pemandu diambil tindakan dalam operasi bersepadu dilaksanakan bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Beliau berkata, operasi itu membabitkan kekuatan 115 pegawai dan anggota yang menjalankan pemeriksaan terhadap 1,627 kenderaan secara keseluruhan.
“JPJ Kuala Lumpur mengeluarkan 463 notis atas pelbagai kesalahan, antaranya cukai jalan dan insurans tamat tempoh, tiada lesen memandu serta mengubah suai kenderaan.
“Sebanyak 26 kenderaan disita, termasuk kereta Lamborghini milik seorang lelaki warga China yang didapati memandu tanpa lesen. Kesemua kenderaan disita itu dibawa ke JPJ Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan.
Dalam pada itu, Hamidi berkata, JSPT Kuala Lumpur turut mengeluarkan 30 notis terhadap pemandu kenderaan atas pelbagai kesalahan, manakala Imigresen pula menahan tiga warga Indonesia termasuk dua wanita, dan AADK menahan tiga individu selepas hasil ujian saringan mendapati mereka positif dadah jenis ganja.
Beliau berkata, Operasi Khas HRA 2025 yang bermula 24 Mac lalu hingga semalam diadakan bertujuan memastikan tahap keselamatan jalan raya pada musim perayaan ini.
Sepanjang operasi itu, katanya, sejumlah 15,490 kenderaan diperiksa di sekitar Kuala Lumpur dengan 1,729 kenderaan diambil tindakan, manakala 4,559 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dan 24 kenderaan disita.





