Sunday, July 26, 2026
HomeBERITAKL Strike Force Diarah Tangani Isu Penyalahgunaan Dadah Guna Peranti Vape -...

KL Strike Force Diarah Tangani Isu Penyalahgunaan Dadah Guna Peranti Vape – Dr Zaliha

KUALA LUMPUR: KL Strike Force diarah melaksanakan kajian menyeluruh dan mengambil tindakan segera berhubung isu penyalahgunaan dadah terutama membabitkan peranti vape sebagai medium penyaluran bahan terlarang itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata ancaman itu amat membimbangkan, kerana ia semakin menyusup ke ruang kehidupan generasi muda, termasuk pelajar sekolah.

“Sehubungan itu, saya mengarahkan isu ini dikaji dan ditangani secara menyeluruh serta diselaras segera. Tindakan susulan akan dipacu oleh KL Strike Force, dengan pembabitan aktif semua agensi penguat kuasa, institusi pendidikan, komuniti setempat dan pakar kesihatan awam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, malam tadi.

Dr Zaliha yang juga Pengerusi KL Strike Force berkata, pendekatan yang diambil kelak, akan merangkumi aspek penguatkuasaan, pencegahan, pemulihan dan pendidikan awam.

KL Strike Force adalah satu unit khas yang akan bertindak secara bersepadu dan ia merangkumi pelbagai agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Mengulas tahap keselamatan keseluruhan di Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha berkata ia kekal stabil dan terkawal, namun orang ramai tidak boleh alpa.

“Keamanan yang dinikmati hari ini perlu dipertahankan melalui iltizam yang konsisten, respons yang tangkas serta sinergi antara agensi yang mantap.

“Keselamatan adalah cerminan kepada keutuhan masyarakat dan kecekapan dasar yang dilaksanakan. Keupayaan kita mengurus punca kepada gejala sosial, asas kepada bandar yang lebih berdaya tahan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan, pasukan penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan atas komitmen tinggi dalam memastikan keselamatan Wilayah Persekutuan terus terpelihara.

Terdahulu, Dr Zaliha mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Wilayah Persekutuan yang merupakan ruang penting untuk agensi keselamatan dan penguat kuasa di Wilayah Persekutuan.

Mesyuarat itu bertujuan mendapatkan gambaran komprehensif dan berdiskusi berkenaan tahap keselamatan semasa di Wilayah Persekutuan, termasuk penilaian terhadap Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK), trend jenayah bandar dan cabaran baharu yang menuntut tindakan lebih tuntas.

Sumber – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Saya Akui Banyak Kesilapan Saya Terhadap Lara – Awal Ashaari

0
KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon, Awal Ashaari, 44, mengakui pernah melakukan banyak kesilapan ketika membesarkan anak sulungnya, Lara Alana, yang kini berusia 12 tahun. Awal...

CATEGORIES