Kuala Lumpur: Pekerja tidak mendapatkan suntikan tifoid, premis kotor dan berbau busuk, bahan mentah diletak atas lantai, terdapat hurungan lipas dan menyalah guna lorong belakang untuk membasuh peralatan memasak.
Itu antara kesalahan yang dikesan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Operasi Sepadu Bersih yang dijalankan di sekitar ibu negara, pada Rabu lalu.
DBKL dalam kenyataan di Facebook (FB) berkata, operasi yang dijalankan 36 petugas dari Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL itu memeriksa 52 premis.
Ia termasuk di Jalan Bukit Cheras dan Taman Bukit Anggerik; Jalan Radin Bagus 7, kiosk tingkat bawah Hospital Pantai KL dan Mid Valley Megamall, Jalan Wan Kadir dan Rivercity Plaza, Selangor Mansion dan Pertama Kompleks.
“Hasil operasi, DBKL mengeluarkan 45 kompaun dan sebuah premis makanan diarah tutup kerana tahap kebersihan yang tidak memuaskan.
“Arahan penutupan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan 28(1) WPKL 2016.
“Sementara kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016 dan Undang-Undang Kecil Pengendali Makan 1979,” katanya.
Sumber: Harian Metro