KUALA LUMPUR – Polis akan mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai penyiasat dan penyelia dalam siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir sekiranya didapati berlaku pelanggaran peraturan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan sudah dimulakan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman serta pasukan khas yang ditubuhkan bagi kes itu.
“Kita menyiasat segala perkara yang ditetapkan mengikut lunas undang-undang dan SOP (prosedur operasi standard). Jika ada perkara bertentangan, kita akan ambil tindakan terhadap pegawai berkaitan.
“Beberapa tindakan perlu kita kaji dari sudut tatatertib dan saya pun sudah minta Pengarah JIPS mengambil tindakan yang perlu berdasarkan sejauh mana berlakunya perlanggaran,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan, kegagalan pegawai penyiasat memohon bedah siasat pada peringkat awal dikenal pasti sebagai punca utama ketidakpatuhan SOP dalam kes kematian Zara Qairina.
Susulan itu, JIPS Bukit Aman mengambil keterangan Ketua Polis Daerah (KPD) berpangkat Superintenden, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) berpangkat Asisten Superintenden dan pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.
Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, hasil siasatan itu akan menentukan tindakan seterusnya yang boleh diambil pihaknya mengikut undang-undang sedia ada.
“Jika ada berlaku beberapa kesilapan, itu perlu dikaji dari sudut tatatertib. Kita akan membuat perkara yang sepatutnya seperti mana ditetapkan oleh peraturan dan juga undang-undang,” katanya.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, di Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu.
Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi, 16 Julai.
Sumber – Kosmo! Online





