Friday, April 24, 2026
HomeBERITAKerjasama Strategik SME Corp. Malaysia Dan SSM Tingkatkan Impak Program Tube

Kerjasama Strategik SME Corp. Malaysia Dan SSM Tingkatkan Impak Program Tube

KUALA LUMPUR – SME Corp. Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat
Malaysia (SSM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang
bakal meningkatkan keberkesanan pelaksanaan Program Tunas Usahawan Belia
Bumiputera (TUBE). Program TUBE bertujuan memupuk semangat keusahawanan
dan menggalakkan belia Bumiputera berumur antara 18 hingga 30 tahun menceburi
bidang perniagaan.

Melalui MoU ini, impak keberhasilan (outcome) Program TUBE dalam melahirkan
usahawan baharu serta keberkesanannya dalam meningkatkan tahap daya saing dan
daya tahan perniagaan dapat diukur dengan lebih berkesan. Kerjasama strategik ini
membolehkan semakan berterusan dibuat terhadap status perniagaan Alumni TUBE
dan merupakan kesinambungan kepada usaha mempermudah pendaftaran
perniagaan peserta dalam MoU yang telah dimeterai pada tahun 2017.

Majlis tersebut yang berlangsung di Ibu Pejabat SME Corp. Malaysia, Platinum
Sentral, Kuala Lumpur turut mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua
organisasi ke arah memudahcara ekosistem dan persekitaran perniagaan yang lebih
kondusif khususnya berkaitan aspek pendaftaran perniagaan. MoU yang
ditandatangani oleh YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif
SME Corp. Malaysia dan YBhg. Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai
Eksekutif, SSM ini juga secara tidak langsung berupaya meningkatkan pendaftaran
perniagaan dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan
menggalakkan penformalan perniagaan, seterusnya meningkatkan sumbangan PMKS
kepada ekonomi negara.

Mengulas mengenai MoU tersebut, YBrs. Encik Rizal berkata, “SME Corp. Malaysia
melihat kerjasama strategik dengan SSM ini penting dalam mengenalpasti impak atau
keberkesanan pelaksanaan program TUBE yang telah berjaya melatih seramai 8,543
usahawan belia Bumiputera dengan jumlah geran perniagaan disalurkan berjumlah
RM120.96 juta. Selain itu, saya berharap agar skop kerjasama ini dapat dikembangkan
meliputi inisiatif lain di bawah SME Corp. Malaysia terutamanya berkaitan pendaftaran
Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) melalui Status PMKS yang
merupakan kriteria asas dalam menentukan kelayakan bagi semua program di bawah
SME Corp. Malaysia.”

Manakala YBhg. Datuk Nor Azimah pula menyatakan, “Kerjasama antara SME Corp.
Malaysia dan SSM diharapkan dapat menerapkan budaya keusahawanan di samping
memberi galakan kepada golongan belia Bumiputera menceburi bidang perniagaan.
SSM telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk merancakkan landskap perniagaan
dalam negara antaranya dengan melaksanakan Skim Pendaftaran Perniagaan
Percuma (SPPP) dan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P). Menerusi MoU ini, SSM
akan memanjangkan inisiatif-inisiatif ini kepada belia Bumiputera yang mengikuti
Program TUBE dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Kerjasama strategik ini
adalah langkah penting dalam memastikan ekosistem perniagaan di Malaysia
berkembang dengan lebih inklusif dan dinamik.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Tak Fikir Watak Pembantu Turunkan Taraf Pelakon’ – Amir Ahnaf

0
Mengakui sudah agak selektif dalam soal tawaran, aktor muda Amir Ahnaf tetap menerima watak pembantu atau sampingan selagi naratif karya tersebut mampu mencabar kemampuannya...

CATEGORIES