KUALA LUMPUR, 13 November- Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memandang serius mengenai isu penganiayaan terhadap Pembantu Rumah Asing (PRA) Indonesia.
Malah, JIM menyatakan komitmen untuk tidak berkompromi kepada mana-mana majikan yang mendera, menganiaya serta memanipulasi pekerja asing.
Semalam, Duta Besar Indonesia ke Malaysia Dato’ Indera Hermono menerusi beberapa laporan akhbar menyatakan isu penganiayaan PRA Indonesia memerlukan penyelesaian segera dan menyeluruh daripada majikan serta penguatkuasaan ketat oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, JIM menerusi satu kenyataan oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh hari ini memaklumkan pihaknya tidak menerima aduan secara rasmi daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) berkaitan penderaan, penganiayaan dan manipulasi pekerja Indonesia seperti dilaporkan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Beliau berkata, JIM akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang melanggar undang-undang dan syarat penggajian PRA.
“Mereka (majikan) akan didakwa di mahkamah jika melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63
dan akan disenarai hitam daripada menggajikan PRA.
“Jabatan ini ingin menjelaskan jumlah Pekerja Asing Indonesia yang mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sehingga 16 Oktober 2023 adalah seramai 447,094 orang. Daripada jumlah ini, jumlah PRA Indonesia adalah berjumlah 57,916.
“Jabatan ini mengalu-alukan pihak KBRI untuk mengemukakan aduan secara spesifik kepada JIM supaya siasatan dan tindakan lanjut dapat dilaksanakan,”menurutnya dalam kenyataan tersebut.
JIM, katanya akan sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Majlis Anti Pemerdangan Orang (MAPO), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk menangani isu eksploitasi pekerja asing termasuk dari Indonesia.
Selain itu, jelasnya kebajikan dan perlindungan kepada Pekerja Domestik Indonesia merupakan antara perkara yang telah dimasukkan dalam Memorandum Persefahaman Antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia Mengenai Penggajian dan Perlindungan Pekerja Domestik Indonesia di Malaysia.
“JIM menyeru supaya orang awam melaporkan dan menyalurkan sebarang maklumat berkenaan majikan yang menganiaya atau mengeksploitasi pekerja asing kepada Jabatan ini supaya tindakan yang tegas dapat diambil ke atas majikan tersebut,”katanya.