Kanak-Kanak Taska RTM Guna Pinggan Digigit Tikus, Makanan Dalam Plastik Sampah

0
713
Foto: TudungSiComel.com

KUALA LUMPUR, 7 Disember 2023- Sebuah taman asuhan kanak-kanak di sebuah stesen penyiaran milik kerajaan didakwa dikendalikan dengan buruk sehingga menyebabkan kanak-kanak yang ditempatkan di situ jatuh sakit.

Menerusi satu hantaran oleh pempengaruh media sosial, Iesya Toh di Instagram, guru-guru di taska tersebut turut didakwa tidak tahan dengan pihak pengurusan dan dikhabarkan ramai dalam kalangan guru berkenaan yang berhenti serentak.

Malah, menurut hantaran itu, kanak-kanak di taska berkenaan mengalami muntah-muntah selain makanan disimpan dalam plastik sampah serta menggunakan pinggan yang digigit tikus.

Beberapa keping gambar turut disertakan menunjukkan seorang kanak-kanak sedang mendapatkan rawatan di hospital serta tangkap layar perbualan dalam aplikasi WhatsApp oleh ibu bapa kanak-kanak taska berkenaan.

“Ya Allah ya Allah. Macam mana anak-anak taska dibuat macam ini? Guna plastik sampah letak makanan anak-anak??? Guna pinggan kena gigit tikus??.

“Sampai muntah-muntah lembik budak-budak ni, bukan hantar PERCUMA. Dengarnya cikgu-cikgu pun ada yang tak tahan dengan pihak pengurusan taska di dalam sebuah stesen TV,” menurut hantaran tersebut.

Sementara itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini tampil dengan kenyataan berhubung perkara tersebut.

Menurut stesen tersebut, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung sebuah taska di stesen penyiaran tersebut yang didakwa dikendalikan dengan buruk dan tidak amanah.

“RTM menyedari terdapat muat naik di media sosial yang tular berkaitan hal berkenaan dan taska berkenaan berada di dalam kawasan Angkasapuri Kota Media.

“RTM memandang serius perkara ini dan sedang melakukan siasatan terperinci bagi mendapatkan maklumat lengkap berkaitan insiden tersebut.

Jelas kenyataan tersebut, meskipun taska berkenaan bukan bawah pengurusan RTM, namun jabatan itu tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas apatah lagi melibatkan nyawa dan kemaslahatan kanak-kanak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here