Monday, May 11, 2026
HomeBERITAIbu Tunggal Terharu Kementerian Pertahanan Baiki Rumah Program Jiwa Murni

Ibu Tunggal Terharu Kementerian Pertahanan Baiki Rumah Program Jiwa Murni

ALOR GAJAH: Seorang ibu tunggal yang juga isteri kepada seorang bekas tentera, melahirkan rasa terharu dan amat gembira apabila kediamannya di Felda Hutan Percha, dekat sini, dibaik pulih melalui Program Jiwa Murni Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Alimah Rahim, 66, tidak menyangka sama sekali rumah berkenaan menjadi pilihan walaupun suaminya, Samsudin Samah, sudah meninggal dunia pada 2022.

“Saya tidak menyangka rumah kami menjadi pilihan pihak Kementerian Pertahanan untuk dibaik pulih.

“Rumah ini sudah ditinggalkan lama oleh ibu mertua saya dan sebaik suami bersara daripada tentera pada 1993, saya bersama beliau bersetuju menjaga rumah ini sebelum suami meninggal dunia pada 2022.

“Memang rumah ini banyak masalah pada struktur bangunannya kerana dibina dengan papan, banyak yang rosak termasuk bocor di bahagian atap, dinding papan reput manakala tandas tidak sempurna,” katanya ketika ditemui media.

Ibu kepada enam orang anak itu berkata, walaupun ada melakukan pembaikan dari masa ke semasa menggunakan wang pencen suami, namun ia tidak cukup sempurna kerana kos pembaikan yang tinggi.

Bagaimanapun kelegaan menjelma dalam dirinya apabila Kementerian Pertahanan memilih rumah berkenaan bagi melaksanakan pembaikan.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan Kementerian Pertahanan bersetuju membaik pulih rumah ini menerusi Program Jiwa Murni.

“Mana mungkin saya mampu memperbaiki rumah ini kerana kos pembaikannya bukan murah,” ujarnya.

Alimah mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak Kementerian Pertahanan yang menjayakan program berkenaan dan memberinya peluang menikmati kediaman yang lebih selesa.

Bagi warga usia emas itu, program berkenaan memberi erti yang cukup besar dalam hidupnya.

Beliau yang tinggal bersama tiga orang anaknya di rumah berkenaan mendapati kerja-kerja yang dilakukan oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkualiti tinggi dan lancar.

“Ini menunjukkan mereka memiliki kepakaran dalam bidang membina dan membaiki rumah.

“Terima kasih Kementerian Pertahanan kerana membaiki rumah saya,” ujar Alimah yang ternyata berpuas hati dengan program terbabit.

Sementara itu, pegawai program, Lt Muhamad Huzaid Marzuki dari Pasukan 9 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja, Kem Terendak, Melaka, menjelaskan kerja membaik pulih rumah balu Allahyarham Samsudin Samah itu membabitkan seramai lapan orang anggota skuadron berkenaan termasuk bantuan lima anggota dari Kor Amor Diraja.

Beliau berkata, skop kerja melibatkan pembinaan satu ruang tamu dan dua bilik selain menaik taraf bumbung serta lantai.

“Kerja-kerja lain membabitkan pendawaian lektrik dan pemasangan sistem perpaipan yang baharu,” katanya yang memaklumkan rumah berkenaan pada asalnya adalah usang kerana mempunyai struktur binaaan daripada papan.

Menurutnya, program yang bermula pada pertengahan September lalu telah selesai sepenuhnya pada 18 Oktober, mengambil masa sekitar satu bulan untuk disiapkan.

Beliau akui pelaksanaan program berkenaan berjalan lancar seperti mana dirancangkan walaupun berhadapan dengan masalah cuaca hujan yang tidak menentu.

“Melalui perancangan rapi dan komitmen semua anggota, segala urusan program ini dapat bergerak dengan baik dan menepati jangka masa yang ditetapkan,” katanya yang memaklumkan program berkenaan membabitkan kos RM20,000.

Dalam pada itu, Muhamad Huzaid berkata, secara keseluruhan terdapat 15 projek Program Jiwa Murni yang membabitkan pembinaan dan menaik taraf rumah yang dilaksanakan pasukannya tahun ini.

Beliau berkata, setakat ini enam daripadanya sudah berjaya diselesaikan.

“Kami memulakan projek Program Jiwa Murni ini sejak Jun lalu dan kesemua program ini akan selesai kesemuanya pada Disember depan.

“Ini adalah sebahagian usaha Kementerian Pertahanan untuk meringankan beban bekas tentera dan masyarakat selain menyerlahkan komitmen pasukan ATM sentiasa bersama masyarakat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Dari Kecil Anak-Anak Kena Tahu Cara Lindungi Diri’ – Zahirah Macwilson

0
DUA figura popular, Zahirah Macwilson dan Aiman Hakim Ridza sering menjadi perhatian peminat bukan sahaja kerana bakat lakonan, malah personaliti mereka yang dianggap mempunyai...

CATEGORIES