PETALING JAYA – Rakyat Malaysia bakal menikmati penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, lebih rendah berbanding harga semasa iaitu RM2.05 seliter.
Berita baik ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siaran langsung ketika menyampaikan inisiatif Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia sebentar tadi.
Menurut beliau, kerajaan tetap meneruskan rancangan penyaluran subsidi bersasar bagi petrol RON95, dengan butiran lanjut akan diumumkan menjelang hujung September 2025.
“Harga RON95 yang lebih rendah itu tentunya memberi manfaat sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig,” katanya.
Dalam masa yang sama, golongan yang tidak layak seperti warga asing tidak akan menikmati subsidi ini dan perlu membayar harga pasaran.
“Pendekatan bersasar ini sejajar dengan ikhtiar kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat dan mengurangkan pembaziran subsidi.
“Bagi tahun 2023 dan 2024, subsidi RON95 sahaja dianggarkan menelan belanja hampir RM20 bilion setahun.
“Sungguh pun tahun ini harga minyak dunia mengalami penyusutan, harga petrol RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter jauh lebih tinggi daripada harga bersubsidi untuk rakyat,” ujar Anwar.





