ALOR SETAR – Banjir yang berlaku di utara tanah air tidak harus dijadikan sebagai modal untuk menghentam mana-mana pihak memandangkan faktor utama kejadian itu berpunca daripada fenomena alam.
Pakar Sistem Maklumat Geografi (GIS), Shaharol Niza Omar berkata, punca utama kejadian banjir itu yang berlaku berulang kali dan mengambil masa lama untuk surut adalah disebabkan oleh pertembungan antara fenomena ‘super moon’ dengan peralihan monsun.
Jelasnya, fenomena super moon bererti kedudukan bulan berada hampir dengan bumi dan tarikan graviti bulan menyebabkan kejadian air pasang besar melebihi tiga meter dari paras laut.
“Fenomena itu yang berlaku empat kali dalam tempoh empat bulan bermula Ogos lalu, bertembung pula dengan peralihan monsun yang bermula 24 September lalu hingga awal November depan. Peralihan monsun ini membawa angin kencang dari pelbagai arah, diikuti taburan hujan yang banyak.
“Keadaan itu menyebabkan banjir susah untuk surut kerana air hujan tidak dapat mengalir ke laut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, ketika fenomena super moon berlaku, jarak antara bumi dengan bulan dianggarkan sejauh 357,000 kilometer berbanding kebiasaan 380,000 kilometer yang menyebabkan imej bulan kelihatan lebih besar kira-kira 14 peratus.
“Dalam keadaan sekarang, semua pihak harus berjaga-jaga kerana awal November nanti kita akan ‘bertemu’ pula dengan monsun timur laut. Selain itu fenomena super moon dijangka akan berlaku buat kali terakhir tahun ini pada 15 November depan.
“Pada tahun-tahun sebelumnya berlaku juga banjir tetapi tidak seteruk ini kerana pertembungan dua fenomena ini, tidak berlaku. Kali ini keadaanya menjadi lebih teruk disebabkan oleh pertembungan dua fenomena alam ini,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE





