JOHOR BAHRU: Dua penjenayah maut ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Abad, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, berkata dalam kejadian kira-kira jam 5.04 petang itu, seorang suspek berusia 42 tahun disahkan maut di lokasi kejadian bersama seorang lagi rakannya yang berada dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 42 tahun dan mempunyai 38 rekod jenayah membabitkan dadah manakala seorang lagi suspek belum dikenal pasti identitinya kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.
“Sepasukan polis dari Bahagian D14, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian D9, JSJ Kontinjen Johor mengekori sebuah Toyota Estima berwarna putih di lokasi kejadian berada dalam keadaan mencurigakan.
“Apabila menyedari diekori, suspek bertindak melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis yang sedang mengekori rapat.
“Tindakan suspek menyebabkan pihak polis turut melepaskan tembakan ke arah MPV dinaiki suspek. Kejadian berbalas tembakan berlarutan sehingga keadaan selamat.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek dalam Toyota Estima tersebut terkena tembakan dan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, tular beberapa video memaparkan kejadian berbalas tembakan itu mengejutkan penduduk setempat dan video anggota polis menutup beberapa jalan selain melencongkan aliran trafik di kawasan Kebun Teh selepas Jalan Abad buat sementara waktu.
Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Kumar berkata, polis turut menjumpai dua pistol di dalam kenderaan itu dan sepucuk pistol pada badan seorang daripada suspek.
“Selain itu, polis turut menjumpai pelbagai jenis bahan dipercayai dadah dalam kenderaan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian ini dirayu tampil menyalurkan maklumat ke talian hotline Polis Johor di talian 019-2792095 atau talian bilik gerakan 07-221299.
Sumber: Berita Harian