Thursday, June 25, 2026
HomeBERITABanjir Di Hatyai Makin Buruk, Pelajar UUM Bergantung Air Hujan Dan Sumber...

Banjir Di Hatyai Makin Buruk, Pelajar UUM Bergantung Air Hujan Dan Sumber Makanan Terhad

SINTOK: Paras air banjir di Hatyai, Thailand dilaporkan semakin meningkat pagi tadi, hingga mencecah tingkat satu hotel penginapan 40 pelajar dan empat pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas di bandar itu sejak 22 November lalu.

Wakil pelajar, Mimi Nadzirah Afiqah Md Suhaimi berkata, perkembangan terkini setakat jam 8.18 pagi (waktu Thailand) mendapati arus deras menyukarkan bot penyelamat untuk sampai ke lokasi mereka.

Bagaimanapun, katanya, keadaan pelajar dan staf masih terkawal namun mereka kini bergantung sepenuhnya kepada air hujan untuk keperluan harian termasuk mandi dan membuang air.

“Kami hanya bergantung kepada bekalan makanan yang disalurkan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla. Namun, jumlahnya sangat terhad dan terpaksa dikongsi sesama kami.

“Kami amat berharap ada bantuan lain yang boleh disalurkan kepada kami, khususnya dari segi bekalan makanan. Setakat ini, hanya konsulat yang membantu,” katanya dalam satu hantaran WhatsApp kepada pihak UUM hari ini.

Menurutnya, kekangan logistik akibat banjir menyukarkan sebarang bentuk penghantaran bantuan tambahan ke lokasi mereka.

Justeru, mereka merayu supaya lebih banyak bantuan dapat disalurkan segera.

“Kami harap dapat apa-apa bantuan bekalan makanan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Semalam, UUM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa operasi pemindahan ditangguhkan sementara berikutan hujan lebat yang melanda Hatyai sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, tindakan ini dibuat setelah mengambil kira makluman situasi semasa dan arahan daripada pihak berkuasa tempatan.

Koordinasi antara Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan pihak berkuasa Hatyai akan dilaksanakan secepat mungkin apabila keadaan cuaca mengizinkan.

Sumber. – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Gosip Tak Normal’ – Hisyam Kecewa Difitnah Kunjungi Rumah Erysha

0
KUALA LUMPUR – Dituduh berkunjung ke rumah pelakon Erysha Emyra, aktor Hisyam Hamid menafikan dakwaan tersebut selain menyifatkan kontroversi atau dakwaan sebegitu sesuatu yang...

CATEGORIES