PETALING JAYA – Peminat kumpulan K-pop BTS sanggup beratur seawal 3 pagi di cawangan Maybank terpilih bagi merebut peluang penukaran kad debit edisi terhad BTS World Tour Arirang yang mula dikeluarkan hari ini.
Menerusi perkongsian peminat BTS yang menggelarkan diri mereka ‘Army’, mereka memuat naik gambar dan video suasana semasa beratur awal pagi tadi sehinggalah cawangan bank dibuka kepada orang ramai untuk berurusan.
“Power akak ni beratur sejak pukul 3 pagi untuk kad BTS,” kata pengguna Thread yang juga kakitangan bank, Irfan Othman berkongsi gambar seorang peminat BTS hadir untuk penukaran kad debit di cawangan Maybank Shah Alam.
“Ya, saya berjaya dapat tukar kad Maybank Debit Card Visa BTS. Seronok, mula beratur dalam 7 pagi kat cawangan Bukit Bintang. Staf bank baik dan mesra kat situ. Selesai dalam pukul 10 pagi selepas buka pukul 9.30 pagi. Laju staf buat kerja. Army pun menyokong,” kongsi Nina Enany.
“Saya dah tukar, korang dah tukar belum? Terima kasih Maybank Shah Alam, staf semua sempoi. Siap pasang lagu BTS lagi dan pertama kali datang bank meriah nok. Kita orang tujuh orang pertama beratur dari pukul 4.30 pagi. Tak kenal pun, tapi borak macam dah lama kenal, siap buat kumpulan WhatsApp lagi. Army Malaysia memang ngam. Terima kasih untuk freebies (hadiah percuma),” kongsi Diahhbahri.
Terdahulu, Maybank melancarkan kad debit edisi terhad BTS World Tour Arirang yang boleh didapati di 12 cawangan terpilih bermula hari ini.
Pelanggan kad debit Maybank Visa berpeluang memenangi sepasang tiket konsert BTS di Kuala Lumpur pada Disember 2026.
Sumber – KOSMO! ONLINE





