Kuala Lumpur: Pengambilan dan ketagihan air ketum dikenal pasti punca ramai pelajar sekolah menjadi malas hadir ke sekolah dan gagal memberi tumpuan di dalam kelas.
Perkara itu didedahkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) hasil dapatan kajian dilakukan bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaya (UM).
AADK melalui Unit Media dan Komunikasi Korporat memaklumkan, hasil dapatan kajian mendapati hubungan yang signifikan terhadap pengambilan air daun ketum dengan prestasi akademik serta tingkah laku.
“Pengambilan air ketum menjadikan seseorang pelajar tidak produktif. Apabila pelajar meminum air ketum, tingkah laku pelajar juga berubah dan bertindak lebih agresif.
“Ia berlaku apabila remaja ini gagal mendapatkan sesuatu barang yang mengkhayalkan. Mereka seterusnya mengajak rakan terbabit sama meminum air ketum.
“Bermula meminum air daun ketum yang mengakibatkan perubahan tingkah laku, keadaan seterusnya menjadi lebih teruk apabila pelajar ini berusaha mendapatkan bahan lebih mengkhayalkan seperti dadah,” katanya.
AADK menekankan penyalahgunaan ketum atau bahan psikoaktif mitragynine memberi kesan stimulan, sedatif dan euphoria (khayal) yang boleh menyebabkan ketagihan.
“Oleh itu, penggunaan ketum di negara kita perlu dikawal dari segi penyalahgunaannya. Perkara ini disokong melalui tiga kajian dilaksanakan AADK bersama dua universiti awam iaitu UUM pada tahun 2013 dan 2014.
“Ia membabitkan kajian Penyalahgunaan Daun Ketum di Kawasan Utara Semenanjung Malaysia dan cadangan penyelesaian serta penyalahgunaan ketum dalam kalangan pelajar sekolah di Perlis dan Kedah.
“Manakala kajian bersama Universiti Malaya pada 2020 pula berkenaan Pendekatan Menyeluruh Terhadap Kesan Sosio-Ekonomi Dan Persekitaran Ke Atas Penanaman Ketum Di Malaysia,” katanya.
Menurut AADK, dapatan hasil kajian pada 2013 diperkukuhkan dengan kajian pada 2014 daripada universiti sama iaitu ada perbezaan corak penggunaan dan bentuk pengambilan ketum dalam dua kategori belia. Ia membabitkan belia yang berada dalam lingkungan umur antara 12 tahun hingga 29 tahun dan belia dalam kumpulan umur 30 tahun hingga 39 tahun.
“Corak dan bentuk penyalahgunaan ketum bagi kategori belia di bawah umur 30 tahun adalah lebih menjurus kepada mengikut rakan dan mendapatkan keseronokan.
“Golongan ini juga lebih cenderung untuk mencampurkan bahan lain di dalam air ketum bagi tujuan mendapatkan rasa yang lebih sedap di samping menghilangkan rasa pahit ketum.
“Perkara ini berlaku kerana mereka masih lagi dalam tempoh mencuba dan tidak dapat menahan rasa pahit air rebusan ketum. Bagi golongan belia yang berumur 30 tahun ke atas pula, mereka didapati meminum ketum bagi tujuan menghilangkan ketagihan, mendapat keseronokan dan menghilangkan tekanan,” katanya.
Menurutnya, golongan ini tidak lagi mengikut rakan, sebaliknya menjadi pendorong kepada belia muda untuk mengikuti mereka.
“Golongan ini boleh dikategorikan sebagai pengguna ketum yang tegar. Menariknya, golongan ini kurang untuk mencampurkan ketum dengan bahan lain dan lebih gemar untuk meminum air ketum biasa. Hal ini kerana, mereka telah mengalami simptom ketagihan dan terbiasa dengan rasa air ketum yang pahit dan perlu mendapatkannya dengan lebih cepat berbanding melakukan proses mencampurkannya dengan pelbagai jenis bahan lain,” katanya.
Sementara itu, kajian UM pula berkisar kepada isu dan cabaran penanaman pokok ketum di negara ini sekali gus mengkaji impak penanaman tumbuhan itu terhadap sosial, ekonomi dan persekitaran dengan menggunakan responden kumpulan petani dan orang awam.
Sumber : Hmetro