96 Warga Asing Dipercayai ‘Scammer’ Dalam Talian Dicekup Di Pulau Pangkor

0
238
Foto: The Sun Daily

IPOH, 3 November- Seramai 96 warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan iaitu mempromosi pelaburan tidak wujud dalam talian di Pulau Pangkor, baru-baru ini.

Kesemuanya ditahan dalam satu serbuan yang dilakukan pada 31 Oktober lalu oleh sepasukan anggota daripada IPK Perak dan IPD Manjung di sebuah premis rumah percutian yang dijadikan pusat panggilan di pulau peranginan tersebut.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menerusi satu kenyataan berkata dalam serbuan berkenaan polis turut merampas tiga komputer riba, 120 telefon bimbit, dua modem dan dua buku nota yang dipercayai digunakan untuk aktiviti tersebut serta wang tunai RM51,254.

“Premis berkenaan dihuni 65 lelaki dan 29 wanita Vietnam, seorang lelaki dan perempuan warga China serta lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 47 tahun.

“Kesemua suspek ditahan kerana disyaki bekerja atau terlibat menjalankan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian,” katanya.

Beliau berkata premis itu baru didaftar masuk pada hari serbuan dilakukan dan pemeriksaan mendapati sebahagian warga asing tersebut mempunyai pasport sah, manakala selebihnya masuk secara haram.

Lelaki tempatan yang ditangkap berusia 24 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan serta bebas daripada rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Tambah Mohd Yusri, kejayaan tersebut merupakan hasik kerjasama orang ramau yang membantu pihak polis dalam menyalurkan maklumat mengenai aktiviti meragukan yang dijalankan oleh penjenayah.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat mengenai taktik penipuan dan modus operandi terkini yang digunakan oleh ‘scammer’ melalui pelbagai platform media sosial rasmi pihak berkuasa,”katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here