GEORGE TOWN, 3 Oktober- Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini membebaskan lima individu, termasuk dua juvana, atas pembunuhan seorang remaja enam tahun lalu.
Hakim Radzi Hamid membuat keputusan melepas dan membebaskan kelima-lima mereka selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Kesemua tertutuh, V. Sharmah, 24; J. Ragesuthen, 24; K. Tatisan, 23; serta dua beradik, S. Gokulan, 24; dan S. Gopinath, 32, dibebaskan selepas didakwa secara bersama menyebabkan kematikan T. Nhaveen pada Jun 2017.
Selain itu, dalam prosiding penghakimannya, Radzi juga menyatakan terdapat percanggahan dalam keterangan saksi dan selain saksi tidak boleh dipercayai.
Jelas Radzi, memandangkan keterangan salah seorang saksi yang juga rakan mangsa, T Previin didapati tidak boleh dipercayai dan ditolak sepenuhnya dalam kes pembunuhan, maka keterangannya untuk kes serangan juga tidak boleh diterima.
Pada 19 Jun 2017, lima tertuduh Ragesuthen, Gokulan, Gopinath serta Sharmah dan Tatisan yang ketika itu masih di bawah umur dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh Nhaveen, 18.
Mereka juga didakwa melakukan serangan teruk ke atas rakan Nhaveen yang ketika itu berusia 19 tahun, T. Previin berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh di Bukit Gelugor pada malam yang sama.
Nhaveen dikatakan dibelasah ketika membeli burger di Jalan Kaki Bukit manakala Previin berjaya melarikan diri.
Nhaveen kemudian ditemui tidak sedarkan diri di padang berhampiran dengan kecederaan serius termasuk melecur di belakangnya dan tanda-tanda objek tumpul telah masukkan ke dalam duburnya.
Mangsa kemudian meninggal dunia beberapa hari kemudian akibat mati otak.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Azhar Hamzah.
Sharmah diwakili peguam Manveer Singh Dhillon, manakala Gokulan, Gopinath dan Ragesuthen diwakili Datuk Naran Singh.
Sementara itu, Tatisan diwakili peguam S Yagoo.





