Remaja Tingkatan 5 Dibelasah Bapa Rupanya Turut Menjadi Mangsa Rogol

0
767

Rembau: Remaja perempuan yang ditendang dan dipukul bapanya sehingga mendapat 12 jahitan pada kepala, kelmarin, dipercayai turut menjadi mangsa rogol suspek.

Difahamkan, perkara itu menjadi punca lelaki berusia 47 tahun itu mengamuk, selepas mangsa yang berusia 17 tahun menceritakan kejadian itu kepada teman wanita suspek yang tinggal serumah dengan mereka.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, hasil temubual dan pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa pernah dirogol.

“Selepas mendapat rawatan awal di Hospital Tampin, mangsa dirujuk ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah. Hasil temubual dengan doktor yang merawatnya, mangsa memberitahu dia pernah dirogol bapanya.

“Kejadian berlaku pada 12 November tahun lalu. Difahamkan, mangsa dipukul kerana bapanya tidak berpuas hati susulan remaja itu memberitahu kejadian itu kepada teman wanita suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika hanya mangsa dan suspek berada di rumah, kira-kira 2 petang.

“Suspek dikatakan masuk ke bilik mangsa dan merogolnya selain mengugut supaya tidak memaklumkan kejadian itu kepada sesiapa,” katanya.

Hazri berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan pegawai perubatan Bahagian Obstetrik dan Ginekologi Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mendapati terdapat kesan koyakan lama di bahagian hymen pesakit.

Beliau berkata, kes berkenaan kini turut disiasat mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan dan suspek sudah ditahan kira-kira jam 12 tengah malam tadi di rumah berkenaan oleh anggota Balai Polis Kota.

Media semalam melaporkan remaja perempuan berusia 17 tahun dimasukkan ke hospital selepas ditendang dan dipukul dengan pelbagai objek oleh bapanya sehingga menerima 12 jahitan pada kepala, tengah malam kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam di sebuah rumah di Kampung Kendong Baru itu, dipercayai berlaku ketika suspek berusia 47 tahun dalam keadaan mabuk.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here