Warga Emas Putih Mata Rugi Hampir Setengah Juta Diperdaya Scammer

0
642

SEREMBAN, 7 Disember- Seorang warga emas kerugian RM480,000 selepas diperdaya individu menyamar sebagai ejen sebuah syarikat kurier yang mendakwa kononnya mangsa mempunyai bungkusan mengandungi bahan terlarang.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Seremban ACP Arifai Tarawe berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang pesara guru semalam.

Beliau berkata, menurut laporan, kejadian berlaku pada 15 November lepas apabila mangsa menerima panggilan daripada individu menyatakan ada bungkusan mengandungi barang terlarang iaitu buku cek dan kad pengenalan yang didaftarkan atas namanya.

“Mangsa berasa lebih takut apabila diugut akan dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa sekiranya tidak mengikuti arahan individu berkenaan.

“Dia seterusnya mengikuti segala arahan individu itu dengan menekan pautan yang diberikan dan turut berkongsi maklumat akaun bank miliknya bagi tujuan menyelesaikan masalah tersebut.

“Mangsa kemudian berasa curiga dengan urusan tersebut lalu membuat semakan akaun bank dan mendapati ada pengeluaran wang daripada akaun miliknya sebanyak RM480,000 sebelum membuat laporan polis,”katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Justeru, Arifai mengingatkan orang ramai untuk tidak mudah percaya kepada pihak yang menyamar sebagai agensi kerajaan atau penguat kuasa secara dalam talian selain segera membuat semakan dengan polis supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here