PETALING JAYA – Rakyat Malaysia khususnya peminat astronomi berpeluang menyaksikan fenomena pertama daripada tiga bulan penuh super berturut-turut apabila Beaver Supermoon dijangka muncul berhampiran gugusan bintang Pleiades malam ini mengikut waktu Malaysia.
Dalam konteks ini, Beaver Supermoon dijangka mencapai kemuncaknya pada pukul 2.53 petang Waktu Universal Selaras (UTC) atau pada pukul 10.53 malam waktu Malaysia hari ini.
Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), fenomena bulan penuh itu menandakan permulaan siri tiga bulan penuh super yang akan berlanjutan hingga Januari depan.
Kata NASA, bulan penuh super boleh kelihatan sehingga 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih terang berbanding bulan penuh paling malap dalam setahun.
Untuk maklumat, fenomena bulan penuh super berlaku apabila fasa bulan penuh bertepatan dengan kedudukan bulan yang paling hampir dengan bumi dalam orbit elipsnya.
Beaver Supermoon tahun ini juga akan melintasi kawasan berhampiran Pleiades, iaitu gugusan bintang dalam buruj Taurus yang lazim dikenali sebagai Seven Sisters.
Fenomena berkenaan boleh disaksikan dari Kazakhstan sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.
Fenomena ini akan disusuli satu lagi bulan penuh super pada 24 Disember depan yang dijangka menjadi bulan penuh super terbesar pada 2026, manakala fenomena ketiga pula akan berlaku pada 22 Januari 2027.
Sumber – KOSMO! ONLINE





