KUALA LUMPUR – Rapid KL melaksanakan sekatan kelajuan sementara di kawasan berhampiran Stesen Ampang Park, Laluan Kelana Jaya, susulan beberapa tren mengalami pengaktifan brek kecemasan pagi tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku antara jam 7.30 pagi hingga 8 pagi ketika tren terbabit menghampiri stesen berkenaan.
Rapid KL dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tren yang terbabit dikeluarkan daripada perkhidmatan dan dibawa ke depoh untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, pasukan teknikal Rapid KL turut menjalankan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan operasi tren berjalan dengan selamat dan lancar.
“Sebagai langkah keselamatan, penumpang diturunkan dengan selamat di stesen berikutnya sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren seterusnya.
“Rapid KL akan terus memantau situasi dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan serta kebolehpercayaan perkhidmatan berada pada tahap optimum,” katanya.
Rapid KL memohon maaf atas kesulitan dialami penumpang yang terjejas akibat gangguan berkenaan.
Katanya, pihak operasi turut memberi jaminan keselamatan penumpang kekal menjadi keutamaan.
Sumber – Berita Harian





